Eksploitasi lima beranak : Keputusan representasi 13 Mac depan - Utusan Malaysia

Eksploitasi lima beranak : Keputusan representasi 13 Mac depan

L. Jayaseelan (kiri) bersama peguamnya di pekarangan mahkamah pada prosiding sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Sesyen Seremban hari ini menetapkan 13 Mac depan bagi keputusan representasi seorang bekas penyelia ladang yang didakwa atas lima pertuduhan memperdagangkan lima beranak sebagai buruh paksa di sebuah ladang di Jempol.

Hakim, Datin Surita Budin menetapkan tarikh itu selepas peguam, M. Gobinathan yang mewakili tertuduh, L. Jayaseelan, 51, memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara.

Terdahulu dalam prosiding sebutan semula kes, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi memaklumkan dokumen berkaitan kelima-lima pertuduhan telah diserahkan kepada pihak peguam untuk diteliti hari ini.

Mengikut pertuduhan, Jayaseelan didakwa telah memperdagangkan satu keluarga yang melibatkan lima mangsa iaitu S.Veerasamy, 47, isterinya, A.K. Rajeswarii, 40, anaknya V. Shasikala, 20, dan V.Anbarasi, 23 serta menantunya, P.Aridasan yang bukan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi sebagai buruh paksa ladang untuk menyelesaikan hutang.

Kesalahan itu dilakukan di Ladang Bukit Tinggi Rompin, Jempol antara 2008 hingga 17 November 2021.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan ke atas tertuduh dilanjutkan dan kes akan disebut semula pada 13 Mac depan untuk keputusan representasi.

Pada 10 Januari lalu, media melaporkan L. Jayaseelan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas lima pertuduhan memperdagangkan lima beranak sebagai buruh paksa di Ladang Bukit Tinggi Rompin, Jempol antara 2008 hingga November 2021.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.