Dua maut, kereta bertembung motosikal berhampiran jirat Cina - Utusan Malaysia

Dua maut, kereta bertembung motosikal berhampiran jirat Cina

KEADAAN kereta dan motosikal yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 47, Jalan Batu Pahat-Mersing berhampiran jirat Cina di Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG:  Dua lelaki maut apabila sebuah kereta bertembung dengan motosikal di Kilometer 47, Jalan Batu Pahat-Mersing, dekat sini pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kemalangan pada pukul 4.12 pagi itu melibatkan sebuah kereta Proton Saga dinaiki tiga lelaki dengan motosikal Honda Wave ditunggang seorang lelaki. 

“Hasil siasatan awal mendapati kereta itu dari arah Batu Pahat menghala ke Kluang, manakala motosikal dari arah bertentangan. Apabila sampai di tempat kejadian, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Kereta berkenaan kemudian bertembung dengan motosikal tersebut sebelum terbabas melanggar tiang lampu di sebelah kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Akibat kemalangan itu, penumpang hadapan kereta berkenaan, V. Prashaanthan, 20, yang beralamat di Taman Cahaya Pelangi, di sini cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu kereta, B. Nantha Kumar, 30, yang beralamat di Taman Bersatu di sini cedera parah di kepala, leher dan patah tulang belakang serta kini dirawat di Zon Merah Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), di sini.

“Seorang lagi penumpang belakang yang merupakan adik kepada Nantha Kumar, iaitu B. Sathis Kumar, 27,  patah tangan kiri, cedera di muka dan berada di Zon Kuning hospital sama” katanya sambil memberitahu penunggang motosikal, T. Ravindran, 51, yang beralamat di Taman Kluang Jaya mengalami kecederaan pada bahagian kepala, patah tangan kiri serta meninggal dunia di tempat kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Jusoh Mohd. Salleh berkata, kemalangan tersebut berlaku berhampiran jirat Cina.

Seramai lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kemalangan itu mengakibatkan ketiga-tiga mangsa dalam kereta tersebut tersepit. Selain itu kemalangan ini turut mengakibatkan penunggang motosikal berkenaan tersepit di bawah kereta,” katanya sambil memaklumkan pihaknya menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.

Pihak bomba turut dibantu sebuah kren untuk mengangkat kereta tersebut bagi mengeluarkan penunggang motosikal yang tersepit bawah kereta dan operasi tamat pukul 4.50 pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.