Bapa percaya Akmal masih di Pulau Mawar - Utusan Malaysia

Bapa percaya Akmal masih di Pulau Mawar

ISHAK KAMIS menunjukkan gambar Muhamad Akmal yang disyaki hilang di Pulau Mawar selepas mendaki di kawasan tersebut pada Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Bapa kepada pemuda yang dipercayai hilang ketika mendaki di Pulau Mawar yakin anak bongsunya itu, Muhamad Akmal Hakimi Ishak, 19, masih berada di pulau berkenaan.

Ishak Kamis, 58, yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) anaknya sejak hari pertama juga tidak kisah dalam apa juga keadaan anaknya itu asalkan dapat ditemukan.

Anak sulungnya, Mohamad Mirza Khusairi, 25, turut  menyertai operasi, namun hingga kini masih belum menemukan petunjuk. 

“Saya percaya anak masih ada di pulau ini kerana jika dia sudah tidak bernyawa, badannya mesti sudah berulat dan berbau. Namun anjing pengesan yang turut sama dalam SAR sudah pusing satu pulau tetapi tidak dapat kesan apa-apa bau.

“Tidak kisah dalam keadaan apa janji Akmal dapat dijumpai. Macam mana jumpa, saya berserah yang penting dapat jumpa jasadnya,” katanya ketika ditemui di Pulau Mawar di sini hari ini.

Bapa kepada dua orang anak itu berkata, Muhamad Akmal yang mesra dipanggil adik merupakan penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Perak  memang mempunyai hobi mendaki gunung dan aktiviti di laut serta sedang bercuti sejak Januari lalu dan sepatutnya pulang ke universiti pada 13 Februari ini.

“Dia memang suka ‘hiking’ sejak usia 16 tahun dan sudah mendaki Gunung Datuk di Rembau. Jika di Kluang memang kerap sangat dia mendaki Gunung Lambak dan yang terbaru pada awal tahun ini dia mendaki di Perak.

“Saya memang tidak pernah menghalang hobinya itu, cuma saya sering nasihatkan jika pergi ke hutan atau laut kena ada teman, jangan pergi seorang diri. Mungkin dia rasa tempat lain dia pernah mendaki di lokasi yang lebih mencabar, padahal di pulau ini hanya kawasan kecil sahaja tetapi, jadi sebaliknya pula,” katanya yang kali terakhir berjumpa anaknya itu pada malam Selasa lalu selepas dia pulang daripada berniaga.

Menurutnya, Muhamad Akmal tidak menunjukkan apa-apa perubahan bahkan tidak memaklumkan kepadanya untuk ke Pulau Mawar.  

“Pada hari Rabu itu, apabila bangun pagi tengok dia tak ada di rumah saya tak fikir apa kerana dia memang suka mendaki Gunung Lambak seorang diri biasanya tengah hari dah balik. Apabila malam dia tak pulang juga, kami mula risau dan masuk hari kedua dia tidak pulang terus kami lapor polis serta tularkan tentang kehilangannya dalam Facebook. 

“Tidak lama kemudian ada penduduk di Mersing yang hubungi saya dan memaklumkan menjumpai motosikal Muhamad Akmal di pulau ini. Terus kami datang ke Pulau Mawar, ” katanya sambil memaklumkan pelbagai usaha dilakukan termasuk dengan meminta bantuan daripada pengamal perubatan Islam untuk membantu mencari anaknya itu.

Muhamad Akmal dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Taman Makmur, Kluang sejak Rabu lalu. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya