70% petugas KKM mahu berhenti?

70% petugas KKM mahu berhenti?

Dalam tinjauan laman CodeBlue kum­pulan profesional dalam sektor kesihatan kerajaan di seluruh negara melaporkan tahap kemarahan dan rasa tidak puas hati tinggi terhadap sistem penjagaan kesihatan awam. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tujuh daripada 10 kakitangan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) didakwa mahu berhenti kerja kerana tidak berpuas hati dengan sistem penjagaan kesihatan.

Tinjauan sebuah laman web berita kesihatan CodeBlue mendedahkan 95 peratus daripada keseluruhan 1,652 responden yang ditinjau pendapat mereka percaya bahawa sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia kini berada dalam ‘krisis’.

Dalam tinjauan tersebut, kum­pulan profesional dalam sektor kesihatan kerajaan di seluruh negara melaporkan, tahap kemarahan dan rasa tidak puas hati yang tinggi terhadap sistem penjagaan kesihatan awam.

“KKM berada di ambang kehancuran. Kami sedang rebah dari dalam. Saya rasa mereka tahu, tetapi mereka tidak kisah,” kata seorang pegawai pergigian tetap yang bekerja di klinik pergigian Pulau Pinang, seperti dipetik portal tersebut.

Selain soal gaji yang rendah, antara isu dibangkitkan portal itu merangkumi isu penempatan, kerja berlebihan serta program yang membebankan dalam keadaan kekurangan kaki­tangan.

Dalam tinjauan dibuat CodeBlue, 83 peratus responden berpendapat bahawa kerajaan tidak serius dalam menangani isu dalam sistem penjagaan kesihatan awam.

“80 peratus mengatakan mereka kurang gaji, 78 peratus mengadu terlalu banyak bekerja, 74 peratus mengalami keletihan, dan 61 peratus berasa tidak selamat tentang perkembangan kerjaya mereka.

“Satu perempat mendakwa dibuli di tempat kerja, manakala dua peratus mendakwa gangguan seksual di tempat kerja,” kata portal itu.

Pada 28 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan berdasarkan maklumat daripada kumpulan Hartal Ahli Farmasi kontrak, pihaknya memaklumkan kakitangan sektor farmasi di bawah KKM terpaksa berdepan situasi kekurangan staf yang kritikal sehingga mengalami keletihan melampau.

Sumber itu berkata: “Contohnya, kita ada satu farmasi Total Parenteral Nutrition (TPN) yang menguruskan nutrisi untuk pesakit Unit Rawatan Rapi (ICU). Yang itu, pegawai farmasi yang buat.

“Baru-baru ini, daripada tujuh kakitangan, tiga kakitangan TPN berhenti serentak. Sebab­nya, ketiga-tiga mereka ini jawatannya kontrak dan langsung tidak ditawarkan ke jawatan tetap, jadi mereka berhenti pergi ke tempat lain.

“Kesannya, empat kakita­ngan yang tinggal itu terpaksa bertugas untuk menampung bebanan yang sepatutnya digalas tujuh pegawai farmasi.”

Dalam pada itu, tinjauan Codeblue menyatakan, lebih se­paruh (52 peratus) daripada kesemua responden berkata, mereka akan mengambil bahagian dalam mogok jika dianjurkan untuk pekerja penjagaan kesihatan awam (867 orang), manakala satu pertiga (34 peratus) menyatakan ketidakpastian tentang penyertaan mereka (557 orang).

“Secara keseluruhan, lebih daripada 1,400 profesional penjagaan kesihatan kerajaan sama ada bersedia atau tidak pasti tentang berhenti kerja. Hanya 14 peratus menentang tindakan industri,” lapornya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN