16,815 calon SPM di Negeri Sembilan, empat ambil di hospital - Utusan Malaysia

16,815 calon SPM di Negeri Sembilan, empat ambil di hospital

NORISAH Suhaili (dua dari kanan) memberikan kata-kata semangat kepada calon SPM 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai empat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Negeri Sembilan terpaksa menduduki peperiksaan di hospital termasuk seorang yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat kemalangan.

Mereka adalah antara 16,815 pelajar tingkatan lima yang menduduki peperiksaan SPM di tujuh daerah di negeri ini bermula hari ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Operasi Sekolah, Dr. Norisah Suhaili berkata, berlaku pertambahan 57 orang calon atau 0.3 peratus bagi keseluruhan calon SPM 2022 berbanding 16,758 orang pada 2021.

“Daripada jumlah itu, 14,868 calon daripada sekolah kerajaan, 393 calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), 64 calon sekolah kerajaan negeri, 770 calon sekolah swasta, 638 calon persendirian dan 81 calon Sekolah Agama Rakyat.

“Pada tahun ini, terdapat empat calon yang akan menduduki peperiksaan SPM 2022 di hospital termasuk seorang pelajar lelaki dari Sekolah Menengah Seri Setia yang dirawat di ICU Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban selepas terlibat dalam kemalangan petang semalam,” katanya.

Beliau berkata selepas bertemu calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri di sini hari ini.

Menurut Norisah, tiga lagi calon dirawat di hospital akibat penyakit sakit dalam perut, saraf dan demam denggi.

Jelas beliau, selain itu, terdapat 70 Calon Berkeperluan Khas (CBK) dan Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) yang mempunyai masalah pembelajaran, kurang upaya pendengaran, kurang upaya penglihatan, kurang upaya fizikal dan pelbagai.

CALON SPM 2022 di SMK Puteri, Seremban kelihatan tenang sebelum memulakan peperiksaan SPM hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.

Norisah berkata, walaupun negara telah bebas daripada pandemik Covid-19 dan berada di era endemik, pelajar digalakkan mengikut saranan Kementerian Kesihatan untuk terus menjaga kebersihan diri, mengekalkan saranan norma baharu dengan memakai pelitup separuh muka, mencuci tangan dengan kerap dan menjaga jarak.

“Kami juga bersiap sedia dengan sebarang risiko di sepanjang peperiksaan ini berlangsung agar semua calon dapat hadir menduduki peperiksaan SPM 2022 mengikut tarikh ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, Norisah memberikan kata-kata semangat kepada semua 193 calon SPM di SMK Puteri.

Beberapa calon tiba seawal pukul 6.45 pagi sebelum mereka menduduki kertas pertama Bahasa Melayu Kertas 1 pada pukul 8.15 pagi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya