PETALING JAYA: Rakyat perlu bersedia menukar menu harian mereka dengan menjadikan tempe, kacang soya, dal dan taufu yang lebih murah sebagai sumber protein baharu bagi menggantikan ikan, telur dan ayam.
Langkah itu boleh membantu mengurangkan kos dan kebergantungan kepada ayam, telur dan ikan apabila bahan makanan asas itu bukan sahaja mahal bahkan sukar diperoleh.
Pensyarah Program Dietetik Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Roslee Rajikan berkata, protein daripada kekacang dan sayuran seperti bayam, brokoli serta bijirin boleh menyumbang kepada jumlah protein yang diperlukan dalam diet harian manusia.
“Makanan seperti tempe dan taufu adalah produk berasaskan soya ada protein tinggi termasuk asid amino dan vitamin serta mineral yang boleh menjadi alternatif baik kepada manusia.
“Kandungan kalsium tempe juga tinggi, setanding dengan susu, jadi ia bukan sahaja baik untuk tulang, tetapi pada masa sama mengandungi probiotik dan prebiotik yang boleh membantu sistem pencernaan.
“Jika ingin berjimat makan sejenis sayur atau lauk sahaja pun boleh kerana ia sudah cukup memenuhi keperluan makanan harian tetapi perlu pastikan jenis sayur dan lauk yang diambil dalam seminggu itu dipelbagaikan kerana kandungan zat atau nutrien dalam setiap makanan itu berbeza,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
MENU
Sementara itu, juara Masterchef Selebriti Malaysia, Datuk Fazley Yaakob berkata, menu atau makanan yang menggunakan taufu, suun dan pelbagai jenis sayuran boleh direbus atau digoreng dan digunakan sebagai bahan tambahan atau bahan pengganti untuk ayam, ikan mahupun daging.
“Makanan berasaskan sayuran taufu dan tempe ini, ia mengandungi jumlah protein dan serat tinggi, jadi sangat sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah diabetes, jantung dan darah tinggi,” jelasnya.
Katanya, sayuran kampung seperti ubi rebus, kangkung goreng, belacan dan kacang botol juga sesuai digunakan sebagai makanan alternatif selain murah, mengenyangkan dan menyihatkan tubuh badan.
Bagi chef dan pemilik Restoran Rebung, Datuk Ismail Ahmad pula berpendapat, menyeimbangkan dan mempelbagaikan menu itu penting kerana ayam dan ikan juga merupakan sumber protein penting untuk tubuh badan kita.
DALCA
“Tidak perlulah makan ayam atau ikan setiap hari, pelbagaikan menu contohnya boleh buat dalca sayuran, jika buat kari ayam, kalau ada sedikit sahaja ayam, lebihkan kentang, kena kreatif apabila berhadapan dengan perkara sebegini.
“Paling kurang pun, belilah ikan lebih murah seperti ikan sungai, ikan-ikan rakyat, tidak perlu terlalu mewah dalam menu,” katanya.
Pakar kewangan pengguna, Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata, sekarang ramai berdepan masalah kewangan berikutan isu kenaikan harga, jadi pengurusan kewangan yang bijak penting untuk mengurangkan masalah ini.
Katanya, orang ramai disaran berbelanja mengikut bajet dan keperluan harian rumah.
“Jika beli barang dapur, ada banyak pilihan, tidak perlulah beli ayam dan ikan sahaja, boleh pelbagaikan menu,” jelasnya.
Mohamad Fazli berkata, langkah meninjau dan membandingkan harga antara kedai tindakan baik kerana sudah pasti terdapat perbezaan harga antara kedai-kedai runcit atau pasar,” kata beliau. – UTUSAN










