"Saya tidak tahu apa kesalahan hingga digantung" - Utusan Malaysia

“Saya tidak tahu apa kesalahan hingga digantung”

DATUK SERI MOHD. SALIM MOHD. SHARIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: “Saya tidak tahu apa kesalahan saya, tidak dimaklumkan apa-apa, hanya tahu dari media sosial sahaja,”.

Demikian ulas bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd. Salim Mohd. Sharif berhubung penggantungannya sebagai ahli UMNO selama enam tahun seperti yang diumumkan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu semalam.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jempol berkata, sehingga kini beliau masih tidak menerima apa-apa surat mengenai pemakluman penggantungan itu termasuklah surat untuk hadir pembelaan.

“Saya tidak tahu apa-apa mengenai penggantungan itu sebab surat mengenainya saya tidak peroleh, pembelaan juga saya tidak dipanggil, tiada apa pun, saya tidak tahu apa kesalahan yang saya lakukan.

“Saya sokong calon Barisan Nasional (BN) di Jempol sehingga menang, bilik gerakan yang dikatakan tutup, saya buka semuanya, saya tiada apa-apa, saya hanya mahu beri BN menang sahaja. 

“Pelbagai segi saya bantu malah calon yang menang (Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli) itu ketika berucap juga berikan ucapan terima kasih kepada saya, tiba-tiba sahaja jadi begini, tidak tahu apa agenda sebenarnya, saya tidak tahu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Salim antara empat yang diumumkan penggantungan selama enam tahun sebagai ahli UMNO bersama Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula dipecat dari UMNO.

Dalam pada itu jelas Mohd. Salim, sekiranya beliau melakukan sebarang kesalahan ia perlulah dibuktikan sebagai keadilan buat dirinya.

“Takkanlah selepas apa yang saya berikan kepada parti, racun pula yang mereka beri, kalau betul saya buat salah, apa buktinya? Bagi saya, orang melihat apa yang sedang berlaku dalam UMNO dan sepatutnya dalam keadaan begini kita cari titik pertemuan, politik memang berlaku perbezaan pendapat.

“Saya ini hanya pemimpin kampung, bekas ahli Parlimen sahaja, mungkin tiada kesan apa-apa, bagaimana seperti Khairy? dia orang muda, bekas Menteri, apa kesannya kepada parti?

“Saya memang tidak tahu apa yang telah saya lakukan, apa yang saya siarkan di media sosial, semuanya positif, tiada yang melukakan hati Presiden mahupun Timbalan Presiden,” katanya.

Ditanya berkenaan perjalanan politiknya selepas ini, Mohd. Salim menjelaskan, tumpuannya kini hanyalah kepada isterinya, Datin Seri Fazidah Abdul Rahman yang kini sedang koma dan dirawat di hospital akibat kanser darah.

“Saya tiada apa-apa perancangan lagi, hanya fokus mengenai keadaan isteri yang dalam keadaan tenat, saya tidak mahu menambah keadaan resah dan runsing saya. Biarlah, dalam politik ini, pemimpin datang dan pergi, kalau saya tidak bagus, mungkin ada yang lebih bagus,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya