PRN penentu nasib UMNO

PRN penentu nasib UMNO

TINDAKAN UMNO memecat dan menggantung beberapa pemimpinnya yang didakwa membelakangkan dan melanggar peraturan parti mencetuskan reaksi yang berbelah-bahagi dalam kalangan ahlinya. - UTUSAN/ AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pilihan raya negeri (PRN) akan menjadi penentu kekuatan UMNO selepas ini berikutan tindakannya memecat dan menggantung bebe­rapa pemimpin Pusat dan akar umbi, kelmarin ekoran dakwaan telah membelakangkan dan me­langgar peraturan parti.

Hukuman itu telah mengundang kejutan dan reaksi ber­belah-bahagi dalam kalangan ahli UMNO sendiri, malah turut mendapat ribuan komen rakyat di media sosial yang dijangka menterjemahkan penerimaan mereka terhadap keputusan itu dalam PRN di enam negeri nanti.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pemerhati politik yang juga pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, kesan pemecatan tidak boleh dilihat segera, namun pada PRN akan datang.

Katanya, pada masa ini, ahli-ahli UMNO yang memihak pe­mimpin-pemimpin yang dipecat itu marah, namun situasi tersebut tidak dapat menggambarkan reaksi keseluruhan.

“PRN akan beri jawapan tersebut apakah rakyat me­ne­rima Kerajaan Perpaduan atau soko­ngan kepada UMNO sama ada le­bih teruk atau sebaliknya. Pre­siden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid dan Majlis Kerja Ter­tinggi (MKT) hanya boleh menilai keputusan itu sama ada orang menyokong atau tidak dalam PRN. Kalau lebih teruk maka orang menolaklah,” katanya.

Kelmarin, mesyuarat MKT UMNO memecat bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Beberapa pemimpin lain turut digantung keahliannya sehingga enam tahun antaranya Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hi­shammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd. Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Menurut, Muhammad Iz­mer, tindakan itu mungkin ber­tujuan mengukuhkan parti, namun merupakan satu kerugian besar apabila melibatkan tokoh-tokoh yang mempunyai pengaruh kuat.

“UMNO kena ambil pengajaran tindakan menggugurkan Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum ini menyebabkan Perlis hilang semua kerusi, tidak tinggal satu pun untuk UMNO. PRN ini, akan menjadi hidup dan mati UMNO, kalau sokongan tidak melonjak, risiko besar untuk UMNO,” katanya.

Sementara itu, Ahli MKT, Datuk Mohd. Razlan Rafii berkata, pemecatan itu perlu kerana UMNO telah menjadi ‘barah’ berikutan perpecahan berpunca daripada tindakan beberapa individu sejak 2018, sekali gus perlu diselamatkan segera.

“Nak atau tidak, UMNO perlu bergerak ke depan supaya parti boleh bergerak dengan lebih pantas. Kita dah tahu UMNO ini jadi barah, jadi kita kena tahu apa puncanya? Puncanya kita bergaduh sesama sendiri selama empat tahun.

“Jadi, kalau kita tidak ambil tindakan sekarang, apakah kita boleh kuatkan parti dalam tempoh empat, lima tahun akan datang? Kalau biarkan keadaan seperti ini sahaja, kita hadapi situasi yang sama. Tindakan ini perlu walaupun drastik,” katanya di sini, semalam.

Ahli MKT, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tindakan memecat pemimpin UMNO bukan luar biasa kerana parti lain juga melakukan perkara sama setelah didapati membelakangkan dan melanggar peraturan parti.

“Perkara yang dibuat bukan sahaja menghentam kepemimpinan, tetapi membelakangkan UMNO apabila menjadi dalang mendorong ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menandatangani surat akuan (SD) menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, pensyarah kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, pemecatan itu mengulangi krisis Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dipecat daripada UMNO pada zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

“Saya yakin sebenarnya ramai lagi ahli dan pemimpin melihat tindakan Presiden dan segelintir pemimpin MKT tidak menghayati perjuangan UMNO sendiri. Mereka sebenarnya tidak ada saluran begitu kukuh, tepat dan sesuai untuk menterjemah pandangan tidak setuju serta kemarahan kerana saluran tersebut dikawal oleh parti.

“Saya yakin PRN nanti akan memberi kesan cukup besar kepada prestasi UMNO dan komponen perlu menilai sama ada masih mahu lagi bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN), maka MCA dan MIC boleh menilai semula kerjasama poltik dalam gabungan BN.

“Jika mereka tidak bertindak segera, ia boleh memberi kesan kepada MCA dan MIC apatah lagi kepada Pakatan Harapan (PH) kerana mereka bekerjasama BN membentuk kerajaan, sedikit sebanyak agenda reformasi akan tercalar oleh tindakan UMNO terhadap ahli parti sendiri,” katanya.

Sementara itu, beberapa pemimpin daripada Perikatan Nasional (PN) turut mempelawa mereka yang dipecat UMNO menyertai gabungan itu sebagai alternatif meneruskan wadah perjuangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN