Polis tangkap lelaki warganegara Myanmar dipercayai bunuh sepupu sendiri - Utusan Malaysia

Polis tangkap lelaki warganegara Myanmar dipercayai bunuh sepupu sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang lelaki warganegara Myanmar ditangkap polis selepas dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki warganegara sama di sebuah kandang ternakan di Selaru, Dangi, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, kira-kira pukul 3 pagi, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki iaitu penternak haiwan ternakan.

Penternak itu telah melaporkan seorang lelaki warganegara Myanmar yang merupakan pekerjanya telah meninggal dunia di sebuah kandang.

Menurutnya, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa yang berusia 26 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala akibat dipukul dengan menggunakan objek tumpul.

“Bertindak atas maklumat kes tersebut, pihak Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Pilah telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki Mynmar yang merupakan sepupu mangsa.

“Suspek berusia 21 tahun berjaya ditangkap di tepi jalan Selaru, Dangi tidak jauh dari tempat kejadian semasa cubaan mahu melarikan diri. Ia kurang sejam selepas polis menerima maklumat kes bunuh tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Amran lagi, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban bagi proses bedah siasat yang dijalankan hari ini.

Sementara itu, katanya, dalam siasatan di lokasi oleh pihak forensik, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan pula telah menjumpai sebatang kayu yang padan dengan luka kecederaan pada kepala mangsa.

“Lain-lain bahan bukti juga telah di ambil di tempat kejadian. Turut dirampas adalah beg galas yang berisi pakaian, telefon bimbit, dan botol arak.

“Suspek telah mendapat perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung dengan kes ini,” katanya

Dalam pada itu, beliau memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi talian penting IPD Kuala Pilah yang bernombor 06-484 2999 atau pergi mana-mana balai polis berhampiran.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya