PETALING JAYA: Pasangan warga Russia yang tular selepas memuat naik klip video berada di puncak Menara Merdeka 118 di ibu negara baru-baru ini tiada rekod keluar atau masuk di Jabatan Imigresen Malaysia.
Bagaimanapun, bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, pihak berkuasa akan terus menyiasat secara terperinci berhubung perkara itu.
“Setakat ini juga, semakan mengesyaki kedua-dua individu itu tidak berada dalam negara ini. “Pemeriksaan mendapati tiada rekod mereka masuk atau keluar dalam sistem imigresen,” kata sumber yang dihubungi semalam.
Sumber itu berkata, pihak berkuasa masih meneruskan siasatan termasuk menyiasat kemungkinan mereka memasuki Malaysia secara haram.
Kata sumber, hasil penilaian daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Menara Merdeka mendapati tiada kelibat pasangan tersebut menceroboh bangunan yang belum beroperasi itu.
“Kita juga telah panggil sembilan individu termasuk staf dan pekerja-pekerja di menara itu selepas kejadian pencerobohan tular,” kata sumber.
Mengulas lanjut, kata sumber, pihak berkuasa juga sedang menunggu keputusan analisis klip video yang dihantar ke Cyber Security Malaysia sama ada rakaman tersebut tulen atau ia terhasil daripada teknik teknologi tinggi.
DISIASAT
“Pendedahan mengenai pasangan itu akan disiasat merangkumi pelbagai aspek. Antara paling penting kita sedang menunggu keputusan forensik video tersebut yang sedang dianalisis terlebih dahulu,” kata sumber.
Kelmarin, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Delhan Yahaya berkata, pihak polis telah memperoleh laporan analisis pemilik media sosial pasangan Russia itu daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia selain sedang mendapatkan laporan rekod perjalanan kedua-dua individu terbabit.
Isu pencerobohan menara kedua tertinggi dunia oleh Angela Nikolau dan Ivan Beerkus tular apabila mereka memuat naik klip video berada di Menara Merdeka di laman sesawang SkyscraperCity.com.
Menerusi klip video itu pasangan itu dipercayai menggunakan dron untuk mengambil gambar selepas mendakwa memanjat tangga dari dalam menara untuk tiba ke puncak.
Dalam hantaran dimuat naik Ivan di laman sesawang itu, dia memaklumkan pengalaman berada di atas puncak menara berkenaan sebagai sesuatu yang ‘gila’, manakala Angela menerusi hantaran di Twitter, menulis dia tidak ditahan semasa memanjat menara terbabit yang belum lagi dibuka kepada umum.
Bagaimanapun, kelmarin, Angela memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas tindakannya itu.
Ketika membalas satu ciapan di Twitter, Angela menerusi akaun Twitternya menyifatkan tindakan mereka itu sekadar memenuhi kehendak seni dan karyanya.- UTUSAN










