PUTRAJAYA: Kerajaan diminta memberikan tambahan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan menerusi Bajet 2023 untuk memperbaiki dan menaik taraf fasiliti usang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini termasuk bagi penambahan staf kesihatan yang tidak mencukupi sekali gus dapat menjamin kesihatan rakyat.
Beliau bagaimanapun gembira dengan penarafan Malaysia yang berada kedudukan teratas yang disenaraikan terbaik dunia dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia dengan infrastruktur canggih.
Menurut laporan indeks laman web International Living 2019, Malaysia memperoleh skor 95 mata daripada 100 berbanding lima negara teratas lain yang memperoleh penarafan terbaik dalam kategori Penjagaan Kesihatan Terbaik Dunia.
Skor itu dinilai menerusi kategori penjagaan kesihatan dalam Indeks Persaraan Global Tahunan 2019 yang diterbitkan.
“Malaysia mampu melaksanakan lebih baik daripada skor ini jika sektor kesihatan negara diberikan lebih dana peruntukan dan sumber tenaga staf.
“Justeru, harapan KKM pertambahan Bajet 2023 supaya fasiliti usang dapat dinaik taraf serta penambahan staf. Kita perlu membuat pelaburan dalam sistem kesihatan,” Noor Hisham semalam.
Dalam pembentangan Bajet 2023 kerajaan terdahulu, KKM memperoleh peruntukan RM36.1 bilion iaitu peningkatan sebanyak 11.51 peratus berbanding RM32.41 bilion pada 2022 bagi memastikan sektor kesihatan negara dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Peruntukan itu akan dimanfaatkan bagi pembaikan hospital dan klinik daif serta penggantian peralatan usang dengan keutamaan kepada fasiliti-fasiliti kesihatan di pedalaman Sabah, Sarawak, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.- UTUSAN










