Mimaland: Bangun semula atau dibiar 'berhantu'?

Mimaland: Bangun semula atau dibiar ‘berhantu’?

Keadaan Mimaland yang dipenuhi hutan selepas ditutup pada tahun 1994 dan terbiar sehingga kini. - UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Taman tema pertama Malaysia, Mimaland yang ditinggalkan hampir 30 tahun selepas ditutup pada 1994 wajar diberi nafas baharu agar pembangunan semula di kawasan itu mampu memberi pelbagai kemudahan kepada masyarakat setempat.

Kawasan rekreasi yang terletak berhampiran Kampung Batu 12, Gombak itu dahulunya menjadi kebanggaan negara dilihat masih mempunyai ciri-ciri menjadi tarikan semula pelancong luar, mahupun menjadi tempat untuk kemudahan rakyat dan menjana pendapatan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, keadaan terbiar itu membahayakan kebanyakan rumah penduduk di pinggir jalan dekat kawasan tersebut kerana ia turut menjadi laluan kende­raan berat.

Malah melalui pemerhatian itu juga, kemudahan untuk penduduk agak terhad, peniaga serta penduduk terpaksa ke kawasan lain yang agak jauh untuk membeli dan mendapatkan barangan keperluan harian seperti bahan-bahan mentah.

Penduduk, Zurina Azizan, 60, berkata, dia berpendapat kerajaan wajar mengambil semula tapak Mimaland dan membangunkan kemudahan yang memberi keuntungan kepada penduduk di sini.

Menurutnya yang sudah men­duduki kawasan tersebut selama 33 tahun, Mimaland dahulunya antara tarikan kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai, namun selepas penutupan taman tema itu kini ia menjadi amat sepi.

“Dulu makcik pernah dengar dalam beberapa bulan lepas ada pihak mahu buat seakan-akan Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk penduduk-penduduk yang duduk di tepi jalan ini. Kalau jadi memang eloklah tapak Mimaland digunakan untuk perkara seperti demikian.

“Memang penduduk di sini akan sokong sekiranya dibangunkan dengan tujuan beri kemudahan semula kepada kami seperti pasar raya untuk beli barang-barang basah, jadi tidaklah jauh, hanya perlu berjalan naik ke bukit,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mimaland mula dibuka untuk orang ramai pada 1971 dan sejak itu tidak putus menerima kunjungan apabila dikatakan taman tema tersebut mempunyai kolam terbesar di Asia Tenggara pada ketika itu serta gelongsor gergasi.

Namun, satu rentetan peristiwa menyebabkan Mimaland terpaksa ditutup pada 1994 selepas 23 tahun beroperasi.

Melalui pemerhatian Utusan Malaysia dengan menggunakan dron, kawasan tersebut kini dilitupi dengan hutan belukar yang menjadikan segala tarikan di sana tenggelam.

Seorang lagi penduduk, Hazlimi Abd. Ghafar, 50, berkata, sekiranya pembangunan semula tapak tersebut ingin dilakukan. ia sesuai dijadikan sebagai kawasan untuk masyarakat setempat menjana pendapatan.

“Seperti kawasan peranginan sebabnya dahulu ketika Mimaland sedang gah beroperasi, di luar memang masyarakat di sini boleh menjana pendapatan de­ngan menjual makanan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Aizat Hazim Abdul Rahman, 27, pula menggesa tapak Mimaland dibangunkan kerana tidak mahu kawasan itu terus dikaitkan dengan ‘kisah seram’ atau menjadi tum­puan penggemar aktiviti paranormal sedangkan ia mempunyai potensi untuk memberi manfaat kepada penduduk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN