PETALING JAYA: Pindaan Akta Kerja 1955 melibatkan tempoh waktu bekerja dikurangkan daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu yang berkuat kuasa hari ini melanggar peruntukan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman menjelaskan, konvensyen itu masih memperuntukkan tempoh bekerja 48 seminggu seperti yang termaktub dalam akta sebelum ini.
Justeru, beliau menggesa kerajaan supaya meneliti semula peruntukan pindaan pengurangan waktu bekerja itu.
“Konvensyen ILO Perkara 1 mengenai waktu bekerja masih memperuntukkan 48 jam waktu bekerja biasa seminggu dan ia selaras dengan Akta Kerja sebelum pindaan.
“Oleh itu, kerajaan harus melihat semula pindaan itu kerana majikan terpaksa mengeluarkan kos untuk pekerja yang diminta bekerja melebihi 45 jam seminggu berbanding sekarang,” katanya ketika dihubungi.
Baru-baru ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dilaporkan meminta majikan supaya tidak memberikan sebarang alasan terhadap pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022).
Presidennya, Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, ini kerana perkara tersebut sudah dikaji dan dirunding secara bersama sebanyak 18 kali sejak 2018.
Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, pelaksanaan bagi permohonan waktu kerja fleksibel juga dilihat masih kurang praktikal dalam kalangan majikan.
“Peruntukan Akta Kerja yang dipinda jelas memperuntukan bahawa permohonan hendaklah diisi dalam borang dan proses yang ditentukan oleh Ketua Pengarah Buruh.
“Justeru, tanpa borang yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh, maka pekerja tidak boleh memohon untuk waktu kerja fleksibel,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, sudah tiba masanya majikan mengamalkan strategi meningkatkan produktiviti supaya hasil yang sama diperoleh walaupun waktu bekerja sudah berkurangan.
“Digitalisasi dan automasi adalah jawapannya,’’ kata beliau. – UTUSAN










