PASIR MAS: Perasaan teruja murid di Kampung Serongga di sini untuk kembali semula ke sekolah semalam ‘terbantut’ apabila peralatan sekolah seperti pakaian dan buku teks rosak ditenggelami banjir yang berlaku dua minggu lalu.
Seorang ibu, Nor Aliasahfika Zulkifli, 28, berkata, anaknya, Nor Intan Ilyana Mohamad Salmizan, 7, tidak mahu ke sekolah semalam kerana dia tidak sempat membeli baju sekolah baharu.
“Baju lama rosak akibat tenggelam semasa banjir. Meskipun sudah membasuhnya dengan peluntur, namun kesan lumpur tidak tanggal.
“Kasut sekolah Nor Intan Ilyana pula hanyut dibawa arus banjir apabila rumah kami tenggelam hampir paras bumbung,” katanya ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Serongga semalam.
Nor Aliasahfika memberitahu, Nor Intan Ilyana sepatutnya bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kiambang di sini membuat keputusan untuk tidak hadir ke sekolah dalam masa terdekat.
Katanya, selain masih sibuk membersihkan rumah yang masih berlumpur, segala kelengkapan persekolahan anaknya itu juga masih belum disiapkan.
“Meskipun dibenarkan ke sekolah memakai baju biasa, Nor Intan Ilyana tidak mahu kerana kawan-kawannya memakai baju seragam,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk Kampung Serongga yang hanya mahu dikenali sebagai Yaakob berkata, anaknya, Mohd. Amar Rifqi, 7, juga tidak ke sekolah kerana kasutnya hilang dihanyutkan banjir.
Katanya, selain masalah kelengkapan sekolah, kebanyakan kanak-kanak di kampung itu demam selepas pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS) di SK Kiambang minggu lalu.
“Saya dan keluarga semua demam selepas pulang dari PPS. Bagi mengelakkan demam berjangkit, saya tidak menghantar Mohd. Amar Rifqi ke sekolah hari ini (semalam).
“Biar dia berehat dan sembuh dahulu. Selepas itu, baru kami membeli kelengkapan sekolah yang baharu agar dia boleh bersekolah seperti kanak-kanak lain,” katanya.- UTUSAN










