JKDM rampas mercun, bunga api untuk Tahun Baru Cina

JKDM rampas mercun, bunga api untuk Tahun Baru Cina

WAN Jamal Abdul Salam Wan Long (dua kanan) memeriksa mercun dan bunga api yang di rampas ketika sidang media di Pejabat JKDM Kastam Rantau Panjang, Kelantan.-UTUSAN/ ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api seberat 2,159 kilogram (kg) yang dipercayai seludup dari negara jiran untuk sambutan Tahun Baru Cina dalam serbuan di  Kampung Padang Pak Amat Pasir Puteh, semalam.

Rampasan mercun dan bunga api bernilai RM35,631.57 termasuk cukai dilakukan JKDM selepas menahan sebuah lori serta pacuan empat roda pada pukul 9.50 malam.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, bagaimanapun kedua-dua suspek berjaya meloloskan diri dengan meninggalkan kenderaan tersebut sejurus menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam lori tersebut menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api dipercayai diseludup dari negara jiran, Thailand  sempena sambutan Tahun Baru Cina.

“Modus operandi yang digunakan oleh penyeludup  adalah dengan memunggah barangan tersebut dalam skala kecil dari kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok, Rantau Panjang menggunakan pacuan empat roda.

“Mercun yang berjaya diseludup itu kemudian akan diangkut ke dalam lori tiga tan  yang sedang menunggu di kawasan tanah lapang di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh,” katanya semasa sidang media di Pejabat JKDM Rantau Panjang di sini hari ini.

Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan mercun dan bunga api itu dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

“Pada masa sama, JKDM sedang melakukan siasatan untuk menjejak kedua-dua pemandu bagi menyelesaikan kes penyeludupan ini,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya