Jangan cemar masjid, surau dengan dakyah politik - Utusan Malaysia

Jangan cemar masjid, surau dengan dakyah politik

MOHD. FARED MOHD. KHALID (dua dari kiri) dan beberapa pegawai MAINJ melihat titah Tunku Ismail mengenai larangan mencemarkan institusi masjid bagi tujuan penyebaran dakyah politik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Semua pihak, khususnya ahli politik tidak mencemarkan institusi masjid dan surau di negeri ini untuk menyebarkan dakyah politik.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, penegasan itu dibuat bagi menjunjung titah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang selaras dengan Seksyen 96 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Katanya, MAINJ turut memberi amaran dan melarang sekeras-kerasnya bagi individu atau ahli politik untuk menjadikan masjid sebagai tempat penyebaran atau perbincangan tentang hal ehwal politik. 

“Ingin ditegaskan bahawa penganjuran program-program berbaur politik di dalam masjid tidak boleh dilaksanakan sama sekali dan mana-mana pihak yang berkompromi membenarkan pelaksanaan program berunsur politik juga akan diambil tindakan. 

“Sebarang aktiviti berbentuk ceramah agama, usrah, perkongsian ilmu agama atau lain-lain perlulah mendapat tauliah kebenaran dan kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).

“Penceramah yang menyampaikan ceramah dan perkongsian ilmu juga perlu mendapat pentauliahan dan pengiktirafan rasmi oleh MAINJ. Kelulusan MAINJ menjadi keutamaan dan penekanan berhubung isu larangan ceramah politik di dalam masjid perlu diberikan perhatian serius,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Khas MAINJ di Bukit Timbalan, di sini hari ini.

Mohd. Fared berkata, arahan larangan itu akan ditampal di 850 masjid dan 2,000 surau di seluruh negeri dengan segera.

MAINJ juga akan mengadakan pertemuan dengan pengerusi masjid, surau, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketua setiap parti politik di negeri ini bagi menerangkan mengenai larangan tersebut.

“Selain tempat beribadat, masjid berfungsi sebagai medan perkembangan dakwah dan penyebaran ilmu menerusi program syarahan atau ceramah agama oleh penceramah yang bertauliah. Ia menjadi tempat berkumpul orang Islam untuk mengadakan majlis keagamaan, mesyuarat dan kegiatan yang menjurus kepada kesatuan silaturahim umat Islam.

“Walau bagaimanapun, masjid dan surau kini telah disalahgunakan oleh sesetengah pihak yang tidak sensitif apabila program-program keagamaan dicampuradukkan kandungannya dengan unsur politik sehingga menyebabkan salah faham dan perpecahan dalam kalangan umat Islam. 

“Dalam situasi lain, ada juga yang berselindung di sebalik program keagamaan dengan menggunakan pentas ceramah, kuliah atau syarahan di masjid untuk menyelitkan unsur-unsur fitnah dan menyebarkan fahaman politik tertentu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya