MARAN: Peminat dan penduduk Maran mahu penyanyi terkenal negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 44, diangkat sebagai ikon dan tokoh berjasa dari daerah ini.
Ini kerana, anak kepada pasangan, Tarudin Ismail dan Siti Salmah Bachik itu dilahirkan pada 11 Januari 1979 di Berek Polis Kampung Awah di sini.
Peminat berharap pada usia ke-44 penyanyi tersohor itu tahun ini diiktiraf sebagai anak kelahiran Maran, bukan daerah lain di negeri ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, tokoh budaya dan seni Maran, Omar Azman Mohamad, 82, berkata, Siti Nurhaliza dilahirkan pada Khamis 11 Januari 1979 di Berek Polis Kampung Awah di daerah ini tetapi dibesarkan di Lipis.
Beliau berkata, ramai tidak menyangka bayi comel anak kepada anggota polis itu muncul sebagai penyanyi yang diminati pelbagai kaum dan menjadi usahawan berjaya.
“Siti Nurhaliza menerima pelbagai anugerah dan merupakan penyanyi Malaysia yang paling berjaya, menerima lebih 300 anugerah tempatan dan antarabangsa serta membuat persembahan membabitkan lebih 50 konsert sepanjang penglibatan dalam industri muzik.
“Namun, di sebalik kewujudan Galeri 3D dan Tokoh kelahiran Maran yang mempamerkan 52 tokoh tempatan di galeri itu, ia tidak menyenaraikan nama Siti Nurhaliza.
“Mungkin terlepas pandang ekoran timbul kekeliruan tentang tempat kelahiran Siti Nurhaliza di Berek Balai Polis Kampung Awah yang dianggap dalam Temerloh.
“Sehubungan itu, pembetulan perlu segera dibuat supaya tokoh besar seperti Siti Nurhaliza diiktiraf anak kelahiran Maran dan disenaraikan sebagai tokoh berjasa ke-53 daerah ini,” katanya di sini semalam.
Omar Azman berkata, sebelum ini, UMNO Bahagian Maran di bawah kepimpinan Allahyarham Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak pernah menganugerahkan gelaran srikandi sebagai mengenang jasa dan kebolehan luar biasa penyanyi kesayangan ramai itu.
Beliau berharap Siti Nurhaliza dan anak-anaknya ‘pulang’ ke Maran bertemu sanak saudara dan peminatnya kerana di situ ‘tanah tumpah darahnya’. – UTUSAN









