PETALING JAYA: Timbalan Ketua UMNO bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin menyifatkan tindakan lebih 100 ketua bahagian yang mahu supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertanding dalam pemilihan parti sebagai suatu ‘kegilaan’.
Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, tiada sesiapa yang wajar membenarkan demokrasi dalam UMNO dimatikan.
“Hentikan kegilaan ini. Saya rasa presiden seorang pejuang yang tidak gentar menghadapi pencabar. Buka ruang pertandingan.
“Jangan mati demokrasi dalam UMNO,” kata Khairy menerusi perkongsian di media sosialnya hari ini.
Kenyataan bekas Menteri Kesihatan itu dihantar beserta poster yang mempersoalkan langkah ketua-ketua bahagian berkenaan yang menyokong supaya kedua-dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertanding.
“Apakah para perwakilan dan akar umbi tidak punya hak memilih ketua mereka,” soal Khairy
UMNO mesti mengadakan pemilihan parti sebelum 19 Mei ini, iaitu tarikh akhir dari tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dibenarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Semalam, media melaporkan, seramai 140 ketua UMNO di peringkat bahagian menyatakan kebersamaan mereka untuk melihat jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertanding tahun ini.
UMNO sepatutnya mengadakan pemilihan pada tahun lalu, namun mereka membuat permohonan supaya ditangguhkan bagi membolehkan parti memberi tumpuan kepada pilihan raya. – UTUSAN