Empat juta kenderaan dijangka masuk Johor - Utusan Malaysia

Empat juta kenderaan dijangka masuk Johor

MOHD. EDIR SANIP menyampaikan hamper kepada pengguna jalan raya yang melalui Plaza Tol Kempas, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lebih empat juta kenderaan dijangka masuk ke negeri ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina bermula Jumaat ini hingga Selasa depan.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Mohd. Edir Sanip berkata, pertambahan kenderaan itu dapat dilihat di pintu masuk utama negeri ini seperti di Lebuhraya Utara-Selatan, khususnya di Plaza Tol Kempas dan Plaza Tol Skudai serta di Tambak Johor.

Justeru, pihaknya akan melaksanakan operasi dan penguatkuasaan dengan menggandakan penugasan keanggotaan di seluruh negeri  sepanjang musim perayaan ini.

Selari dengan slogan ‘pandu cermat, sampai selamat’, JPJ Johor akan memastikan operasi Tahun Baharu Cina dilaksanakan dengan efektif bagi mencapai sasaran pengurangan kadar kemalangan.

“Saya dimaklumkan, dijangka berlaku peningkatan kenderaan memasuki negeri ini sebanyak dua kali ganda berbanding hari biasa.

“Bagi memastikan kelancaran operasi, seramai 170 pegawai dan anggota dari semua bahagian termasuk enam cawangan, enam stesen penguatkuasaan dan dua stesen kawalan sempadan untuk bersama turun padang,” katanya selepas Majlis Pelancaran Operasi Tahun Baharu Cina 2023 di Plaza Tol Kempas, di sini hari ini. 

Mohd. Edir berkata, mobiliti operasi pada musim perayaan ini melibatkan sebanyak 33 buah kenderaan penguatkuasaan dan sembilan motosikal yang digerakkan untuk membuat rondaan dan pemantauan sepanjang operasi bermula Jumaat ini hingga 27 Januari ini.

JPJ Johor juga akan memberi tumpuan di 45 kawasan titik panas yang kerap berlakunya kemalangan jalan raya, majoritinya berada di kawasan Johor Bahru.

“Operasi yang dijalankan JPJ Johor memberi tumpuan terhadap tujuh kesalahan utama, antaranya tidak mematuhi had laju, memandu di lorong kecemasan, tidak memakai topi keledar dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Kita juga berharap pemandu lori dan kenderaan barangan mematuhi tarikh larangan yang ditetapkan, sekiranya gagal berbuat demikian, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN