Dua mangsa rentung kebakaran lori kontena dikenal pasti - Utusan Malaysia

Dua mangsa rentung kebakaran lori kontena dikenal pasti

KEADAAN lori kontena yang terbakar dalam dalam kejadian di Kilometer 259.6 Lebuh Raya Utara Selatan (Arah Selatan) berhampiran susur keluar ke Plaza Tol Port Dickson dekat Rasah, Seremban pagi ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian kebakaran sebuah lori treler yang membawa kontena di Kilometer 259.6 Lebuh Raya Utara Selatan (Arah Selatan) berhampiran susur masuk ke Plaza Tol Port Dickson dekat Rasah di sini pagi tadi telah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kedua-dua mangsa yang rentung itu dikenali sebagai Mazlan Molot, 48, beralamat di Taman Putra Damai, Petaling Jaya Selangor dan Fauziah Uyop, 40-an.

Jelas beliau, kedua-dua mangsa dipercayai merupakan pasangan suami isteri.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah treler jenis Volvo yang membawa muatan biji plastik sedang bergerak dari arah Klang menuju ke arah Senawang.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa disyaki telah hilang kawalan dan terbabas ke lorong paling kanan lalu merempuh tembok tengah penghadang lebuh raya. 

“Akibat pelanggaran tersebut telah menyebabkan lori treler terlibat mengalami kebakaran menyeluruh di bahagian badan dan kepala kenderaan. Kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh pihak bomba  yang hadir di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nanda, kedua-dua mangsa iaitu pemandu dan penumpang lori treler yang tersepit akibat kemalangan mengalami kecederaan terbakar rentung keseluruhan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. 

“Kedua-dua mayat telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk pengendalian bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya