PETALING JAYA: Seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat swasta yang ditahan Suruhanjaya Pemcegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menjadi dalang dalam pengagihan projek kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi sepanjang 2020 hingga tahun lalu telah tamat reman.
Perkara itu disahkan satu sumber kepada Utusan Malaysia yang memaklumkan suspek lelaki berusia 42 tahun itu dibebaskan semalam dengan jaminan.
Kata sumber itu, setakat ini tiada individu lain yang ditahan.
“Dah bebas semalam,” katanya ringkas.
Pada 6 Januari lalu, lelaki itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan dalam siasatan kes berkenaan di Ibu pejabat SPRM, Putrajaya.
Suspek yang ditahan itu dipercayai menerima rasuah bagi menghubungkan kontraktor dengan pihak atasan.
Setakat ini, beberapa kontraktor yang disoal siasat mengaku bersetuju membayar komisyen sebanyak tiga hingga lima peratus sebelum dimasukkan ke akaun sebuah parti politik kononnya untuk tujuan pembiayaan politik.
Sumber itu berkata, SPRM membuka beberapa kertas siasatan terhadap sekurang-kurangnya lima individu yang dipercayai menjadi dalang atau orang tengah kepada beberapa syarikat untuk memperoleh projek bernilai antara RM50 juta hingga RM500 juta.
Hampir 90 peratus projek yang diberikan secara runding terus masih belum dilaksanakan kerana tiada pengeluaran surat setuju terima lagi.
Justeru, SPRM akan memfokuskan kepada siasatan terhadap baki 10 peratus projek yang sedang berjalan membabitkan perkembangan projek antara 10 peratus hingga 20 peratus.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan berkata pihaknya akan memberikan tumpuan kepada siasatan dana kerajaan bernilai RM92.5 bilion daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggarkan hampir RM600 bilion.
Ini kerana menurut SPRM, siasatan mereka mendapati dana RM92.5 bilion itu adalah dana kerajaan di bawah program rangsangan dan pemulihan ekonomi manakala bakinya RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan. – UTUSAN









