Bentong, Raub, lokasi baharu kerap kemalangan di musim perayaan - Utusan Malaysia

Bentong, Raub, lokasi baharu kerap kemalangan di musim perayaan

KAMARUL ISKANDAR Nordin (depan) menyampaikan cenderahati kepada penumpang bas ekspres pada Operasi Penguatkuasaan Perayaan Sempena Tahun Baharu Cina 2023 di Terminal Sentral Kuantan (TSK) di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kawasan di daerah Bentong dan Raub menjadi antara dua lokasi baharu pertambahan kawasan kerap berlaku kemalangan atau ‘black spot’ di negeri ini.

Pertambahan dua lokasi berkenaan menjadikan jumlah ‘black sport’ di negeri ini tahun ini sebanyak 34 lokasi.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, pemantauan dilakukan secara berterusan di lokasi itu bagi mengurangkan kemalangan jalan raya.

“Pertambahan dua lokasi terbabit adalah disebabkan kerapnya berlaku kemalangan di kawasan tersebut sejak kebelakangan ini.

“Antara punca utama nahas khususnya pada musim perayaan di jalan negeri dan Persekutuan disebabkan sikap orang ramai sendiri yang memandu melebihi had laju dan kecuaian pemandu itu sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Kempen dan Operasi Penguatkuasaan Perayaan Sempena Tahun Baharu Cina 2023 di Terminal Sentral Kuantan (TSK) di sini hari ni.

Operasi bermula hari ini sehingga 27 Januari depan itu turut melibatkan agensi penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRMldan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Mengulas lanjut, Kamarul Iskandar berkata, seramai 313 anggota penguatkuasa JPJ dikerahkan sepanjang ops penguatkuasaan ini khususnya di kawasan black spot.

Tambahnya, operasi melibatkan beberapa kaedah penyamaran termasuk pemeriksaan lain seperti di atas bas ekspres, pelaksanaan Perception Of Being Caught (POBC) dan Ops Khas Motosikal.

“Pra Ops Tahun Baharu Cina 2023 bermula 14 Januari sehingga semalam melibatkan pemeriksaan bas ekspres di dua depoh dan tiga terminal bas di negeri ini bagi memastikan pengangkutan awam itu sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Tumpuan ops kali ini membabitkan tujuh kesalahan lalu lintas iaitu memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, penggunaan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan.

“Seperti tahun sebelumnya, Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan akan dilaksanakan pada dua hari sebelum dan dua hari selepas perayaan dalam usaha mengelakkan risiko nahas jalan raya akibat percampuran aliran trafik antara kenderaan berat serta ringan,” katanya.

Had laju jalan persekutuan dan jalan negeri dikurangkan 10 kilometer sejam (km/j), menjadikannya 80km/j dan 70km/j berkuatkuasa hari ini hingga 27 Januari depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya