PUTRAJAYA: Malaysia tidak akan membangkitkan isu kuota dalam Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 dengan Kerajaan Arab Saudi yang akan diadakan di Jeddah pertengahan bulan ini.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar sebaliknya berkata, Malaysia akan mendengar dahulu perkara yang ingin disampaikan Arab Saudi dalam persidangan itu.
“Ada beberapa perkara yang akan kita bincang dengan pihak kerajaan Arab Saudi. Seeloknya biar kita dengar dulu apa yang hendak diperkatakan oleh Arab Saudi sebelum kita bangkitkan perkara-perkara dari pihak Malaysia,” katanya di sini semalam.
Dua perkara menjadi tumpuan musim haji 2023 adalah kuota haji dikembalikan seperti asal iaitu 31,600 orang berbanding 14,306 jemaah pada tahun lalu.
Bagaimanapun, sehingga kini, Kerajaan Arab Saudi belum mengumumkan secara rasmi kuota dan kriteria pemilihan bakal haji untuk musim kali ini.
Jumlah kuota yang diterima dari Kerajaan Arab Saudi itu adalah 45 peratus daripada kuota rasmi tahunan yang biasa diperoleh negara pada 2019 yang mana peratusan kuota rasmi 45 peratus itu juga turut terpakai kepada semua negara-negara lain.
JEMAAH
Sebelum ini, Tabung Haji memaklumkan bahawa keutamaan jemaah bagi mengisi kuota pada musim 2023 ialah calon bakal jemaah yang giliran pada 2020, 2021 dan 2022.
Situasi tersebut bermakna ada baki sebanyak 17,294 orang yang giliran mereka pada 2020 selain calon untuk giliran 2021 dan 2022 turut tidak ditawarkan haji bagi musim kali ini.
Kos mengerjakan ibadah rukun Islam kelima itu juga turut dijangka meningkat sehingga 50 peratus kepada lebih RM30,000 susulan Cukai Nilai Tambah (VAT) di Arab Saudi naik 15 peratus berbanding lima peratus sebelumnya.
Pada masa sama, Mohd. Na’im memaklumkan, urusan kos pengurusan haji dan perkara yang berkaitan dengannya sedang dipantau oleh pihak Tabung Haji.
Katanya, perkara itu akan dilaksanakan dari semasa ke semasa dengan mengambil kira segenap aspek.
Menurut Tabung Haji sebelum ini, kos menunaikan haji bagi musim lalu adalah sebanyak RM28,632 bagi setiap jemaah berbanding anggaran awal berjumlah RM25,540.
Kos haji bagi musim 1440H/2019M pula adalah sebanyak RM22,900 seorang memandangkan Tabung Haji tidak menghantar jemaah dari Malaysia pada 2020 dan 2021. – UTUSAN










