Bekas tentera dicekup tetak pegawai polis

Bekas tentera dicekup tetak pegawai polis

MOHD. Haki Hasbullah menunjukkan gambar pegawainya yang cedera ditetak bekas tentera semasa sidang media di IPD Tanah Merah,Kelantan hari ini-UTUSAN/ROHANA MOHD.NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Seorang bekas tentera yang merupakan suspek kes penagihan dadah diberkas selepas menetak seorang pegawai polis sehingga cedera dalam serbuan di rumahnya di Kampung Batu Gajah di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, pegawai polis berpangkat Inspektor berusia 30 tahun menerima lima jahitan pada bahagian belakang tapak tangan kiri dan bahunya selepas dirawat di Hospital Tanah Merah di sini.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, sebelum kejadian, suspek yang berusia 40 tahun itu dipercayai telah menyerang empat anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) ketika melakukan serbuan di rumahnya.

Menurutnya, lelaki itu bertindak menetak di bahagian bonet dan bahagian sisi pintu belakang sebuah van AADK dengan menggunakan dua bilah parang panjang kira-kira pukul 10.30 pagi pada hari yang sama.

Menurutnya, ekoran daripada insiden itu, sepasukan pegawai dan anggota polis telah melakukan serbuan kira-kira 11 jam kemudian selepas menerima laporan daripada pihak AADK.

“Suspek dikatakan bertindak agresif sambil memegang dua bilah parang panjang semasa serbuan dijalankan. Selepas menetak pegawai polis, lelaki itu akhirnya berjaya ditahan.

“Suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine semasa ditahan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini hari ini.

Mohd. Haki memberitahu, hasil semakan mendapati suspek yang merupakan seorang duda telah dibuang kerja tiga tahun lalu selain mempunyai lima rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Katanya, suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 506, Seksyen 427 dan Seksyen 332 kanun sama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya