Bantuan Awal Persekolahan ceriakan murid Orang Asli

Bantuan Awal Persekolahan ceriakan murid Orang Asli

JUSRI Wan (tengah) bersama anaknya, Zurina (kiri) menerima bantuan awal persekolahan daripada Abd. Manaf Mat (kanan) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kiol di Jerantut, Pahang.  - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Ibu bapa dan penjaga dalam kalangan murid Orang Asli etnik Jahut Kampung Sungai Kiol di sini bersyukur serta menghargai sumbangan kerajaan menerusi agihan bantuan awal persekolahan RM150.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang ibu, Asmah Awang, 38, menzahirkan perasaan gembira kerana kerajaan benar-benar membantu masyarakat Orang Asli bagi meringankan beban belanja persekolahan anak.

“Tidak tergambar betapa gembira dengan bantuan ini kerana boleh meringankan kesusahan kami diibaratkan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, mana mampu membiayai semua peralatan dan pakaian seragam sekolah menjelang sesi baru persekolahan tidak lama lagi.

“Bantuan ini dapat menampung pendapatan suami saya yang cuma mencari wang menerusi kerja kampung langsung tidak mencukupi menyediakan perbelanjaan perbelanjaan persekolahan anak,” katanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kiol di sini semalam.

Perasaan sama turut dikongsi oleh seorang lagi penjaga, Jusri Wan, 45, yang berkata, dia berasa lega dan berterima kasih kepada kerajaan. 

“Bantuan ini mengurangkan beban belanja persiapan anak ke sekolah kerana kami rata-rata golongan B40 serta kurang berkemampuan menyediakan perbelanjaan dalam semua perkara,” katanya.

Menurutnya, bantuan awal persekolahan ini juga dapat memberikan semangat kepada murid Orang Asli etnik Jahut Sungai Kiol supaya belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Sementara itu, Guru Besar SK Sungai Kiol, Abd. Manaf Mat berkata, beliau melihat ibu bapa dan penjaga 88 murid Orang Asli hadir awal ke sekolah dan begitu ceria ketika menerima bantuan tersebut.

“Sebanyak RM13,200 selesai diagihkan kepada 88 orang murid di sini yang diambil oleh ibu bapa dan penjaga masing-masing,” katanya.

Ujarnya, beliau yakin bantuan itu dapat menampung perbelanjaan penduduk Orang Asli di situ khususnya bagi mereka yang mempunyai tanggungan ramai anak ke sekolah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya