‘Abang bomba’ teruja tuai hasil lada bara - Utusan Malaysia

‘Abang bomba’ teruja tuai hasil lada bara

ANGGOTA bomba menunjukkan hasil tuaian di kebun lada kecil jenis bara yang ditanam sejak September lalu di perkarangan Balai Bomba Nenasi di Pekan, Pahang. - UTUSAN/SHEIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Tidak hanya cekap ketika menyelamat mangsa sewaktu bencana tidak kira di darat mahupun air, malah ‘abang bomba’ kini sudah mula pandai bercucuk tanam.

Seramai 33 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi teruja mengusahakan tanaman lada di pekarangan balai dekat sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi, Mohd. Noor Hisyam Kadri berkata, pembangunan projek tanaman lada secara fertigasi diusahakan secara berkumpulan sejak September lalu.

“Selari dengan saranan jabatan untuk menjadikan balai dalam taman, tanah seluas 0.024 hektar telah diusahakan melalui bantuan Unit Pembangunan Ekonomi, Yayasan Pahang (YP).

“Pada mulanya anggota nampak kurang berminat dengan cetusan tanaman lada ini tapi bila sudah ada hasil, mereka mula teruja.

“Minat mereka mula dilihat timbul secara semulajadi terutama apabila sampai masa hendak menuai, dengan sendirinya mereka sangat semangat,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Bomba Nenasi, Jalan Pekan-Rompin di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Noor Hisyam berkata, projek tersebut merupakan hasil perbincangan antara bekas ketua balai terdahulu dengan beberapa penyelia pasukan di sini.

Katanya, mereka bercadang untuk memanfaatkan kawasan pekarangan balai ini yang dahulunya kosong.

“Pemilihan tanaman lada memandangkan tidak perlu banyak penjagaan yang rapi, cuma kena beri perhatian kepada siraman dan baja mengikut jadual ditetapkan.

“Tambahan pula pelaksanaannya tidak pula boleh mengganggu tugasan anggota di sini, memandangkan hanya melibatkan satu atau dua orang sahaja dan selebihnya menjalankan tugasan harian seperti biasa,” katanya.

Terdapat kira-kira 1,000 pokok jenis lada bara ditanam di situ dan sudah dituai sebanyak tiga kali sejak Disember lalu.

Setakat ini, hasil tuaian tanaman lada itu berjaya dikutip sehingga mencecah hampir 100 kilogram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.