PETALING JAYA: Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia (Ikram Health) meminta Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa mengusahakan pembentangan Kertas Putih Kementerian Kesihatan di Parlimen.
Yang Dipertuanya, Dr. Mohd Afiq Nor, perkara itu antara lima perkara yang perlu diberi keutamaan Ahli Parlimen Sekijang itu di bawah pentadbirannya dalam usaha merealisasikan reformasi negara dalam bidang perkhidmatan kesihatan negara.
Beliau berkata, pembentangan itu Kertas Putih itu perlu sebagai usaha mereformasikan sistem kesihatan negara supaya lebih mampan dan berdaya tahan meskipun bertukar kerajaan.
Ujarnya, ini kerana sistem kesihatan negara mestilah mula beransur-ansur keluar daripada terbeban dengan ‘penjagaan penyakit’ kepada ‘penjagaan kesihatan dan kesejahteraan’ secara keseluruhan.
“Kedua, meningkatkan peruntukan perbelanjaan kesihatan awam kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi memastikan Malaysia mempunyai sistem kesihatan awam yang bertaraf dunia pada masa hadapan, selaras dengan negara-negara berpendapatan sederhana tinggi di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Afiq berkata, Zaliha juga diharap dapat merealisasikan segera penggubalan akta Kawalan Tembakau dan Produk Merokok serta Generasi Penamat (GEG) seperti mana yang dibentangkan menteri sebelum ini.
Katanya, ini berikutan berbilion ringgit beban kewangan negara dalam merawat komplikasi penyakit-penyakit hasil penggunaan produk tembakau itu dapat dikurangkan tahun demi tahun apabila akta berkenaan berjaya dilaksanakan.
“(Seterusnya) menyelesaikan isu kebajikan yang kritikal seperti masalah staf kontrak terutamanya jawatan penting seperti doktor, jururawat, dan lain-lain. Kekurangan tenaga kerja adalah kerana permintaan yang tinggi ke atas sesuatu perkhidmatan kesihatan.
“Hal ini boleh diatasi dengan penambahan staf di sektor-sektor yang penting, dan pengisian tenaga kerja di setiap jabatan, hospital serta institusi tersebut boleh dipenuhi mengikut keperluan dan dipantau secara dinamik melalui sistem berpusat,” katanya.
Beliau menambah, keutamaan juga perlu diberi untuk mewujudkan Skim Insurans Kesihatan Negara yang menjadi antara kaedah membiayai perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan cara yang lebih cekap.
“Hal demikian untuk memastikan kelestarian kewangan kesihatan negara kerana penerusan kebergantungan rakyat terhadap subsidi kerajaan boleh merencatkan keperluan pembangunan negara disebabkan kos perawatan yang semakin meningkat saban tahun,” jelasnya. –UTUSAN