Tunku Ismail dimasyhurkan sebagai Canselor UTHM

Tunku Ismail dimasyhurkan sebagai Canselor UTHM

TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM menerima watikah pelantikan sebagai Canselor UTHM yang baharu daripada Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Datuk Seri Ibrahim Ahmad (kanan) sempena Istiadat Konvokesyen Ke-22 Universiti Tun Hussein (UTHM) di Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) pada Istiadat Pemasyhuran Canselor, Pro-Canselor dan Konvokesyen Ke-22 universiti berkenaan di Dewan Sultan Ibrahim, dekat sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim pula dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor UTHM. 

Sementara Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Azmi Rohani turut dilantik sebagai Pro-Canselor UTHM yang baharu.

Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menjadi Canselor UTHM sejak tahun 2002 hingga awal 2022.

Naib Canselor UTHM, Prof. Dr. Ruzairi Abdul Rahim berkata, seramai 4,484 graduan menerima sijil masing-masing merangkumi pelbagai peringkat pengajian, iaitu ijazah doktor falsafah (Ph.D) seramai 128 orang, sarjana (255), sarjana muda (3443) dan diploma (658) dari 3 hingga 8 Disember ini.

Katanya, istiadat berkenaan turut menyaksikan penyampaian Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kejuruteraan Mekanikal kepada Datuk Dr. Mohd. Sofi Osman, bekas Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM (2018-2021).

“Penganugerahan berkenaan bagi menghargai sumbangan beliau dalam bidang akademik, pembangunan universiti dan penyelidikan serta modal insan.

“Prof. Datuk Dr. Wahid Razzaly, bekas Naib Canselor UTHM (2017-2022) pula menerima Anugerah Profesor Emeritus.

“Penganugerahan ini juga bagi menghargai sumbangan beliau kepada universiti dan negara terutamanya dalam bidang teknologi, kejuruteraan dan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

Menurutnya, turut disampaikan dalam istiadat berkenaan ialah Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada Muhammad Faris Abdul Hadi, graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Bioteknologi) dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan.

“Khoo Chun An, graduan Sarjana Muda Sains (Matematik Teknologi) dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi turut menerima anugerah berkenaan, manakala graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Hajar Shahirah Che Ariffin dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina pula menerima Anugerah Sultan Ibrahim,” katanya.

Hingga kini, UTHM berjaya melahirkan seramai 53,760 graduan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya