KUALA LUMPUR : Kerajaan akan menguruskan isu lantikan timbalan menteri pada minggu ini.
Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli, perkara itu dibentangkan dalam mesyuarat jemaah menteri semalam dan proses mengangkat sumpah mungkin dilaksanakan dalam seminggu dua lagi.
“Perdana menteri akan tengok senarai calon-calon yang dicadangkan pemimpin parti-parti dalam kerajaan perpaduan, dan portfolio yang sesuai,” katanya.
Jelas Rafizi lagi, bilangan timbalan menteri daripada setiap parti bergantung kepada jumlah Ahli Parlimen masing-masing.
Secara dasar, komposisi setiap parti dalam Jemaah Menteri adalah Pakatan Harapan (15) melibatkan PKR, DAP, Amanah dan UPKO; Barisan Nasional (6) membabitkan UMNO; Gabungan Parti Sarawak (5) menerusi PBB, PRS dan PDP serta Gabungan Rakyat Sabah (1).
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, pembaharuan reformasi boleh dilihat jika hanya beberapa kementerian penting sahaja yang mempunyai jawatan timbalan menteri.
Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, langkah Perdana Menteri meletakkan sekumpulan pakar sebagai penasihat dalam Kementerian Kewangan wajar dicontohi di kementerian lain sekali gus tiada keperluan untuk melantik timbalan menteri.
Senada dengan itu, seorang lagi penganalisis politik, Dr. Muhammad Shamshinor Abdul Azzis turut bersetuju dengan perubahan tersebut dengan memberi peranan kepada penjawat awam serta Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) untuk membantu menteri di sesebuah kementerian. –UTUSAN