HULU SELANGOR: Keadaan tanah semakin lembut dan berlaku pergerakan air menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) insiden tanah runtuh di Father’s Organic Farm, dekat sini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, ini kerana pasukan penyelamat tidak dapat bergerak secara aktif untuk mengesan mangsa yang hilang di lokasi kejadian.
“Pada masa sekarang, risiko pergerakan tanah berdasarkan keadaan hujan yang turun.
“Keadaan tanah makin lembut dan air mengalir, jadi, terpaksa berhenti (sebentar), tetapi, sekarang ini sudah sambung semula dalam sektor lebih selamat, namun, tetap dalam hotspot yang ditetapkan.
“Kita juga tetapkan keutamaan keselamatan supaya pasukan penyelamat tidak bergerak (banyak) dan hanya berada di lokasi disektorkan, maksudnya kita tidak bergerak terlampau aktif,” katanya.
Norazam menambah, pemantauan keselamatan ketika ini dibantu pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) di mana mereka pasang alat pengesan (sensor) pergerakan tanah untuk alert pergerakan tanah di lokasi kejadian.
“Setakat petang tadi, tiada pergerakan tanah dikesan berlaku, jadi (sebab itu) kita buat keputusan untuk sambung semula kerja-kerja pencarian,” katanya.-UTUSAN