KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memperkenalkan subjek pilihan raya atau memasukkan elemen Undi18 dalam mata pelajaran di sekolah sebagai salah satu usaha memantapkan pemahaman terhadap sistem pilihan raya dan demokrasi di negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, penerapan tersebut boleh dibuat di peringkat menengah atas iaitu bermula di tingkatan empat sebagai persediaan menjadi bakal pengundi.
“Tidak perlu tergesa-gesa untuk merombak sistem pendidikan secara menyeluruh. Peringkat menengah atas sudah memadai untuk memahami secara perlahan-lahan apa makna demokrasi, kesedaran mengenai tanggungjawab dan patriotisme cintakan negara.
“Kita pun tidak mahu mereka akan terpengaruh kepada elemen tidak sihat, tanpa dapat membuat analisis sendiri terhadap isu-isu yang dimainkan. Kadangkala mereka ini tiada pemahaman yang kukuh, dia mudah terpengaruh dengan apa yang dikempenkan.
“Kalau sudah ada pemahaman asas, dia boleh buat analisis sendiri tentang apa yang berlaku sebab mereka sudah faham bagaimana proses demokrasi itu berjalan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, pengundi muda terutama yang berusia 18 tahun perlu diberikan pendedahan dan dimantapkan pemahaman mereka mengenai proses demokrasi dan politik negara, bukannya dinafikan hak untuk mengundi dalam pilihan raya.
PROSES
Pengasas Undi18, Tharma Pillai berkata, langkah itu akan membolehkan mereka memahami proses demokrasi berperlembagaan, seterusnya mampu membuat keputusan tepat ketika membuang undi dalam pilihan raya.
Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula mencadangkan diwujudkan simulasi pilihan raya di sekolah-sekolah bagi generasi muda membuat pilihan tepat ketika memilih pemimpin yang berkaliber bagi mengemudi negara.
“Buat pilihan raya untuk pemilihan ketua pengawas sekolah dan ketua darjah kerana ini membuka ruang kepada cikgu untuk mendidik anak murid mereka berhubung pemilihan pemimpin berwibawa.
“Subjek untuk memahami perlembagaan serta rukun negara juga perlu diperkenal. Anak-anak ini perlu dimaklumkan politik berkait rapat dengan diri mereka termasuk soal perubahan iklim, pendidikan ataupun peluang pekerjaan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan simulasi itu tidak boleh bersandarkan partisan supaya anak murid tidak didoktrin untuk memihak pada mana-mana parti politik.
Oleh itu, menurut beliau, Undi18 tidak boleh dimansuhkan, sebaliknya perlu dipertahankan dengan menambah baik pemahaman anak muda mengenai proses demokrasi negara.
Kata beliau, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November lalu membuktikan pengundi muda cakna isu semasa dan politik negara.
Berdasarkan laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 1,393,549 pengundi yang berumur 18 hingga 20 tahun terlibat dalam PRU15.
ANAK MUDA
Namun, Ahli Parlimen Muar itu tidak bersetuju jika anak muda disalahkan atas keputusan PRU15 yang lalu.
“Saya mahu ingatkan semua, jangan kita menyalahkan anak muda hanya kerana mereka tidak memihak pada parti kita,’’ katanya.
Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim pula berkata, usaha ini perlu dilihat kepada matlamat yang akhirnya ia merangkumi pembentukan pemikiran bakal pengundi yang matang dalam membuat keputusan.
“Undi18 ini kita kena tengok apa matlamatnya, nak capai apa, kalau kesedaran pengundi, penglibatan dalam pilihan raya itu boleh dicapai melalui topik dalam subjek di sekolah. Kalau matlamat undi 18 itu adalah untuk mencapai kematangan pengundi, pemikiran kritis yang rasional dan wajar dalam membuat keputusan itu perlu diasah di peringkat rendah lagi, ia bukan hanya subjek topik berkait dengan pilihanraya atau politik, tetapi ia berkait dengan keseluruhan sistem pendidikan kita.
“Dan ia bukan hanya bergantung kepada subjek sejarah semata-mata, ia boleh diterapkan dalam subjek lain seperti pendidikan sivik dan sebagainya,” ujarnya.- UTUSAN










