Sistem amaran banjir lemah, negara rugi RM36 bilion setahun

Sistem amaran banjir lemah, negara rugi RM36 bilion setahun

banjir
PEMANDANGAN dari udara rumah penduduk ditenggelami banjir di Kampung Durian Mentangau, Terengganu. UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sistem amaran awal bencana (EWS) di negara ini lemah dan gagal mengesan bencana lebih awal seperti banjir besar yang berlaku sekarang dan juga sewaktu tsunami banjir pada 2014.

Ekoran itu, kerajaan meng­alami kerugian RM36 bilion se­tiap tahun dengan lebih 70,000 rakyat menjadi mangsa banjir ketika ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Kesiapsiagaan dan Pencegahan Bencana, Malaysia-Japan International Institute of Technology, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Khamarrul Azahari Ra­zak berkata, ketika ini sistem EWS di Malaysia masih di tahap tidak mencukupi manakala peta bahaya risiko banjir pula tidak diperluaskan ke peringkat komuniti.

Menurut beliau, jika kedua-dua tindakan tersebut diambil serius dengan sistem EWS lebih baik dan menyeluruh, Malaysia boleh mengurangkan sehingga separuh daripada nilai kerugian ekonomi yang dicatatkan berjumlah RM36 bilion setiap tahun.

“Jumlah mangsa bencana pula boleh dikurangkan pada tahap lebih sedikit berban­ding dengan apa yang sedag berlaku membabitkan lebih 70,000 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sementara (PPS),” kata beliau.

PENILAIAN

Kata Khamarrul, dari segi proses pemetaan dan penilaian bahaya risiko banjir itu merujuk kepada peringkat penyediaan peta bahaya, kerapuhan dan risiko bencana menggunakan teknologi geospatial termaju, permodelan hidrologi-hidraulik aliran air dengan senario perubahan iklim, penilaian kerosakan dan penentuan tahap impak limpahan banjir.

Kata beliau, kekurangan peta banjir berlaku terutamanya di kawasan Pantai Timur dan setakat ini peta tersebut hanya digunakan oleh agensi teknikal tanpa disebar luas kepada komuniti di kawasan risiko banjir.

“Peta ada dibuat oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tetapi terlalu teknikal untuk difahami oleh masyarakat biasa dan sukar diterjemahkan kepada tindakan peringkat komuniti.

“Peta bahaya risiko banjir itu akan paparkan kawasan mana yang akan dinaiki air dan impaknya. Proses pemetaan dan penilaian dibuat mengikut lembangan sungai berdasarkan skala permodelan yang berbeza dan input teknikal yang unik.

“Ia perlu ditambah baik berikutan perubahan iklim, guna tanah, geomorfologi dan aktiviti-aktiviti anthropogenik setempat. Dengan adanya peta bahaya, kerapuhan dan risiko banjir, bolehlah perancangan guna tanah yang lebih sensitif kepada risiko banjir mendatang dapat dibuat dengan lebih baik,” katanya.

Sistem amaran banjir di Malaysia masih lemah dan perlu perubahan drastik elak lebih banyak kerugian.

PETA BANJIR

Mengulas lanjut, Khamarrul berkata, ketiadaan peta banjir ini mengakibatkan masyarakat kurang persediaan atau tindakan termasuk koordinasi dibuat tanpa data atau maklumat sebenar, termasuk pembangunan kawasan penempatan dan perindustrian baharu di lokasi rentan.

Mengambil contoh di Jepun, kata beliau, maklumat peta bahaya banjir di negara itu dikongsikan secara terbuka dengan rakyat, justeru komuniti negara itu mengetahui tahap bahaya dan risiko yang bakal mereka hadapi.

Kata beliau, penduduk di Jepun juga lebih cakna dengan risiko yang ada di kawasan mereka yang bakal mengalami banjir melalui kesiapsiagaan lebih tinggi serta daya tahan komuniti lebih kukuh yang mana langkah ini bukan hanya melibatkan isu jumlah penduduk, tetapi mereka selalunya akan berpindah lebih awal tanpa perlu menunggu agensi responder datang menyelamatkan mereka.

“Sistem amaran awal di Jepun lebih baik dan bersasar berdasarkan sistem ramalan yang lebih tepat, data cerapan yang jitu, dan hebahan maklumat risiko yang lebih meluas.

“Sebagai contoh sistem di Jepun, J-Alert, iaitu sistem amaran awal yang menghantar maklumat kecemasan segera tentang ancaman seperti gempa bumi, tsunami dan peluru berpandu balistik melalui siren, supaya orang ramai boleh bertindak balas dengan segera,” katanya.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) turut melancarkan Sistem Amaran Kecemasan sejak 2013 iaitu amaran kecemasan dikeluarkan untuk memberitahu kepada orang ramai tentang kemungkinan besar berlakunya malapetaka yang dikaitkan dengan fenomena alam yang luar biasa magnitudnya.

MITIGASI

Dalam pada itu, Khamarrul berkata, langkah mitigasi berstruktur melalui projek rancangan tebatan banjir (RTB) perlu diteruskan secara bersasar, berkala dan berimpak (memberi impak positif kepada komuniti rentan).

Selain itu, katanya, projek mitigasi bukan berstruktur seperti pembangunan sistem amaran awal yang berasaskan impak setempat, sistem hebahan pintar kepada mangsa-mangsa banjir yang dikenal pasti atau pengunjung baharu di satu-satu kawasan rentan.

“EWS negara perlu ditambah baik yang mana setiap amaran dibuat berdasarkan data ramalan yang dicerap dan dimodel pada peringkat lokal, dan dibuat hebahan maklumat berdasarkan impak yang dikira serta menggunakan pelbagai platform hebahan DIGITAL agar tindakan dibuat dengan pantas dan bersasar.

“Malaysia belum berupaya memberi ramalan bencana yang tepat, jitu dan bersasar walaupun kita sudah melabur sebanyak RM500 juta untuk Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di JPS,” katanya.

Menurut Khamarrul, sudah tiba masanya kerajaan membuat pelaburan lebih tinggi dalam membangunkan sistem EWS lebih pintar, komprehensif dan memberi impak bersasar bagi mengurangkan kerugian ekonomi negara dan kesan lebih buruk kepada kehidupan penduduk dan kelangsungan perniagaan.

Beliau juga menambah, terdapat 62 peratus kawasan sumber makanan negara berisiko ditimpa bencana, impak bencana terhadap sektor pertanian dan keselamatan makanan tidak boleh dipandang ringan dan perlukan rindakan drastik dan radikal.

Mengikut kajian Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pengurangan Risiko Bencana (UNDRR) di peringkat global, pelaburan sebanyak AS$800 juta dalam sistem amaran awal banjir mampu mengelak kerugian antara AS$3 bilion hingga AS$16 bilion setahun.

Kajian itu turut menyebut, keupayaan EWS dalam tempoh 24 jam mampu mengurangkan 30 peratus kemusnahan akibat bencana alam.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×