Setahun tunggu bantuan banjir - Utusan Malaysia

Setahun tunggu bantuan banjir

Sebahagian penduduk Pangsapuri Jaya di Shah Alam yang mendakwa belum menerima bantuan membaiki rumah seperti dijanjikan kerajaan. – UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRISc
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Banjir besar yang melanda negeri ini sudah lebih setahun berlalu, namun masih ada penduduk yang terkesan mendakwa mereka belum mene­rima bantuan seperti di­umumkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Malah, pertanyaan mereka mengenai status permohonan bantuan di jabatan-jabatan berkaitan ibarat seperti ‘menghitung bulu kambing’ kerana sehingga kini tidak menerima maklum balas daripada pertugas terbabit.

Lebih 30 penduduk Pangsapuri Jaya di sini mendakwa mereka belum menerima bantuan baik pulih rumah bernilai RM5,000 seperti dijanjikan kerajaan.

Seorang mangsa, Nur Farihin Wahab, 35, berkata, dia tiga kali ke Pejabat Pembangunan Persekutuan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Seksyen 13, Shah Alam bagi menyemak status permohonannya bagi mendapatkan bantuan itu.

“Pegawai di jabatan tersebut memaklumkan permohonan kami tidak diproses disebabkan nama pemohon bagi permohonan bantuan baik pulih rumah tidak sama, seperti nama pemohon bagi bantuan lain.

BANTUAN

“Saya jelaskan berbeza kerana rumah didiami ketika ini nama saya, manakala bagi semua bantuan lain, permohonan atas nama suami saya,” katanya ketika ditemui bersama beberapa penduduk lain.

Masalah sama turut dilalui, Mohd. Irwan Hardy Budiman, 39, yang memaklumkan permohonannya ditolak walaupun menggunakan nama isteri sebagai pemilik rumah.

“Saya urus dan hantar borang permohonan dan memberitahu permohonan dibuat atas nama isteri sebagai pemilik rumah. Malah saya bersedia berikan sijil nikah sebagai bukti.

“Namun, mereka tidak mahu terima dengan alasan hanya akur kepada syarat ditetapkan. Kalau tak dapat nak bagi bantuan, kerajaan kena cakap secara terbuka kata kerajaan tak dapat bagi. Baru mangsa faham. Ja­ngan terus bisu kerana saya yakin ramai berharap,” luahnya.

Kata Mohd. Irwan, dia telah membelanjakan RM8,000 untuk membaiki rumahnya akibat bah terburuk itu.

“Kos tersebut untuk menukar beberapa pintu rumah, mengecat semula rumah dan beberapa kerosakan lain,” kata Mohd. Irwan.

Situasi sama dialami sebilangan penduduk di Taman Sri Muda, Seksyen 25 apabila mendakwa nasib penyewa-penyewa tidak sebaik pemilik rumah apabila permohonan bantuan mereka juga ditolak.

Menurut penduduk di Jalan Sabar, Ibrahim Yaakub, 55, bukan sahaja bantuan tunai awal, dan baik pulih rumah, malah bantuan untuk membaiki kereta serta pembelian perkakasan elektrik pun masih ramai tidak terima.

“Akhirnya kami reda tetapi ramai masih lagi harap kerana sudah kehabisan puluhan ribu ringgit mereka sangat memerlukannya. Kalau penyewa tak dapat, apatah lagi penduduk di tingkat atas rumah pangsa.

“Penduduk tinggal di tingkat atas rumah pangsa pun mangsa banjir, kenderaan mereka rosak. Ketika bencana, mereka sanggup tumpangkan jiran-jiran tingkat bawah yang rumahnya ditenggelami air, tetapi bab bantuan mereka dipinggirkan,” katanya yang kecewa dengan janji bantuan kerajaan itu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN