Semangat Kesopanan dan Kesusilaan rakyat makin luntur, elak jadi barah - Utusan Malaysia

Semangat Kesopanan dan Kesusilaan rakyat makin luntur, elak jadi barah

ZUHAIRI AB KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Semangat Kesopanan dan Kesusilaan yang merupakan prinsip kelima dalam Rukun Negara dilihat semakin luntur dan kurang penghayatan dalam kalangan masyarakat pada ketika ini.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, ia perlu diatasi dan tidak boleh dibiarkan menjadi barah kerana dibimbangi boleh mencetuskan suasana tidak baik dalam negara.

“Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Tapi benda yang paling remeh yang berlaku ketika ini apabila rakyat kita sudah tidak ada kesopanan dan kesusilaan, bermakna mereka telah melanggar prinsip Rukun Negara.

“Sebagai contoh, apabila kita pergi ke pasar raya, tempat-tempat dikunjungi orang ramai, bukan sahaja kaum Melayu kita sahaja, lain-lain kaum memakai pakaian yang agak seksi, dedah sana, dedah sini yang terlampau, jadi itu juga dikategorikan tidak sopan iaitu melanggar prinsip Rukun Negara kelima.

“Benda sebegini walaupun kita nampak ia remeh, tapi apabila melanggar prinsip Kesopanan dan Kesusilaan, kerajaan sepatutnya mewujudkan satu agensi atau mana-mana badan berkenaan untuk memantau dan memastikan mereka yang melanggar prinsip Rukun Negara ini diambil tindakan, jangan dibiarkan sebab makin lama benda ini boleh merosakkan imej negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 bersempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13 oleh Yang di-Pertuan Agong keempat iaitu Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin.

Rukun Negara menggariskan lima prinsip iaitu, Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan.

Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, contoh lain juga dapat dilihat dalam media sosial seperti Facebook tentang perilaku rakyat yang sanggup melakukan suatu tindakan yang tidak senonoh dan langsung tiada perasaan malu seolah-olah aspek Kesopanan dan Kesusilaan ini langsung tiada dalam diri mereka.

“Jadi, kita perlu terapkan semula prinsip Kesopanan dan Kesusilaan ini supaya generasi kita akan datang memberikan penekanan soal perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat.

“Prinsip ini perlu menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni,” katanya.

Beliau berkata, kesopanan berkisar tentang tingkah laku baik, manakala kesusilaan pula berkaitan akhlak dan kedua-dua elemen ini memerlukan pengisian dan perincian.

“Apabila ada tindakan individu atau kumpulan yang melampaui batas, kurang ajar dan tidak sopan terutama melibatkan isu sensitif, pasti akan menimbulkan rasa tidak puas hati hingga dipersoalkan ke mana hilangnya adab masyarakat hari ini.

“Rakyat perlu meletakkan nilai-nilai yang baik pada tingkah laku, beradab sopan dan mengikut peraturan seperti mana dituntut mengikut falsafah Rukun Negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya