'Saya takkan pernah jual UMNO, jual BN' -Ahmad Zahid

Saya takkan pernah jual UMNO, jual BN -Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID Hamidi (tengah) hadir pada Program Himpunan Rakyat Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Terbuka Rompin di Rompin, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, beliau tidak akan menjual UMNO dan Barisan Nasional (BN) walaupun parti itu membuat keputusan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, apa yang penting, parti itu menjadi kerajaan demi memastikan kepedulian terhadap rakyat diutamakan seterusnya menjadikan BN terus kekal relevan dan diterima oleh masyarakat.

“Kita tolak parti ekstremis dari segi agama dan kaum, kita (BN) tidak jual agama dan kaum. Itu kita akan pertahan sebagai akar tunjang kita. 

“Tapi, apa kita lakukan mesti dengan keizinan Allah SWT, keikhlasan demi agama, bangsa dan negara. Itu yang harus kita pertahankan,” katanya ketika berucap pada Program Himpunan Rakyat Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Terbuka Rompin di sini hari ini.

Ahmad Zahid dalam pada itu meminta rakyat termasuk ahli BN dan UMNO supaya tidak takut dengan kerjasama dibentuk antara parti itu dengan PH. 

“Jangan takut, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Timbalan Presiden dan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (setiausaha agung), kami bertemu  DAP bersama pimpinan PH lain sebelum kerajaan dibentuk. 

“Soalan pertama saya, bagaimana kedudukan Islam, bagaimana kedudukan bahasa Melayu, hak orang Melayu dan institusi raja-raja Melayu jika bekerjasama dengan DAP? 

“Setiausaha Agung DAP,  Anthony Loke menyatakan kepimpinan baru parti itu akur dengan perkara dalam Perlembagaan termasuk empat perkara tersebut, apa kita hendak takut?,” soalnya. 

Beliau dalam pada itu menyeru dirinya dan semua kepimpinan BN bahawa ini merupakan ujian terakhir Allah SWT dan jangan lagi ada perbezaan pendapat dan perpecahan.

“Rapatkan barisan, wujudkan penyatuan pemikiran, penyatuan hati, insya-Allah kita bergerak sederpa dengan semangat wahdatul amal dalam kalangan kita supaya UMNO terus utuh, terus kuat.

“Apa yang penting, kita perlu berjanji untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×