Sarjan didakwa terima rasuah - Utusan Malaysia

Sarjan didakwa terima rasuah

NORHAZAREL Anuar Hamidon (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menerima rasuah dua tahun lalu.-MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2,000 daripada individu yang sedang disiasatnya, dua tahun lalu.

Tertuduh, Norhazarel Anuar Hamidon, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norshila Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang Sarjan telah bersetuju menerima wang untuk dirinya sebanyak RM2,000 tanpa balasan daripada seorang lelaki yang mana tertuduh tahu lelaki itu dan rakannya merupakan suspek dalam kes yang sedang disiasat. 

Kesalahan itu dilakukan berhampiran pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Taman Tasek Bahau berhampiran Mahkamah Majistret Bahau, di Jempol lebih kurang pukul 10.30 pagi pada 5 Ogos 2020.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azrif Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu hadir ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Seremban sekali setiap bulan sehingga kes selesai. 

Isteri tertuduh yang hadir sebagai penjamin merayu supaya wang jaminan dikurangkan kepada RM3,000. 

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM Seremban satu kali sebulan. 

Kes akan disebut semula pada 18 Januari depan untuk serahan dokumen.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya