Sah UMNO pecat Annuar, Shamsiah, Fatimah - Ahmad - Utusan Malaysia

Sah UMNO pecat Annuar, Shamsiah, Fatimah – Ahmad

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: UMNO mengesahkan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa antara tiga pemimpin UMNO yang dipecat pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi ( MKT ) UMNO malam  tadi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, turut dipecat Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yassin yang juga isteri kepada bekas Ketua UMNO bahagian itu Datuk Seri Shahidan Kassim.

Menurut beliau, seorang lagi yang dipecat ialah Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim yang juga isteri kepada penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abu Talib.

“Keanggotaan ketiga-tiga mereka tergugur secara automatik di bawah Fasal 20.11 dan Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO,” katanya selepas menghadiri program Berkhatan Perdana di Masjid Jamek Kampung Jawa Ulu, di sini hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, pemecatan mereka berkuat kuasa serta-merta dan surat rasmi perlucutan keahlian akan dihantar hari ini.

Hari ini, media yang memetik  sumber melaporkan Annuar, Shamsiah dan  Fatimah merupakan tiga pemimpin UMNO yang dipecat keahlian selepas diputuskan  MKT  UMNO malam tadi.

Shamsiah dan Fatimah bulan lalu dilaporkan digantung sementara seluruh jawatan selepas didapati terlibat  secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sementara itu, Annuar sebelum ini dilihat lantang mengkritik kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, khususnya berkaitan usaha jajaran baharu antara Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).

Terdahulu, pemecatan tiga pemimpin itu dilaporkan dimaklumkan Ahli MKT, Datuk Mohd Puad Zarkashi ketika ditemui media di Menara Dato’ Onn selepas mesyuarat selesai, malam tadi.

Ahmad memberitahu, pihaknya kini sedang meneliti  ahli UMNO yang menjadi calon Bebas,  pencadang dan penyokong selain daripada ahli UMNO pada PRU15

“Kami meminta bahagian-bahagian  UMNO mengemukakan laporan jika terdapat ahli-ahli yang melanggar perlembagaan parti bagi membolehkan tindakan susulan diambil ke atas mereka,” katanya.

Mengenai laporan yang menyatakan  jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak ditandingi bagi pemilihan akan datang, Ahmad  memberitahu, perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat MKT malam tadi.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.