TEMERLOH: Remaja lelaki berusia 19 tahun yang sedang dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari bangunan hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusof berkata, berdasarkan siasatan awal, remaja berkenaan dipercayai terjun daripada tingkat tujuh hospital tersebut kira-kira pukul 1 tengah hari semalam.
Menurutnya, siasatan mendapati tiada sebarang kaitan dengan unsur jenayah dan mangsa merupakan seorang pesakit yang sedang dirawat di Hoshas.
“Berdasarkan laporan doktor, pesakit dirawat kerana mengalami demam panas dan juga jangkitan kuman pada otak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Azhar berkata, polis sudah membuka kertas siasatan dan kes dikategorikan sebagai mati mengejut.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hoshas untuk saringan Covid-19 dan bedah siasat.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi tentang kejadian ini dan sekiranya ada maklumat boleh disalurkan kepada pihak polis dan balai berdekatan. –UTUSAN