PPS hampir tenggelam, penduduk terpaksa pindah

PPS hampir tenggelam, penduduk terpaksa pindah

PENDUDUK menyiapkan khemah untuk menempatkan mangsa banjir Kampung Tasek Bakong, Rantau Panjang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Seramai 295 mangsa banjir di Kampung Tasek Bakong di sini, terpaksa berpindah ke kawasan lebih selamat selepas pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibina secara bergotong-royong hampir ditenggelami banjir hari ini.

Wakil penduduk, Kamarulzaman Daud, 37, berkata, langkah segera itu diambil bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk susulan paras air banjir semakin naik.

Menurutnya, rata-rata penduduk terkejut apabila PPS yang dibina secara bergotong-royong di sebuah kawasan tinggi hampir tenggelam.

“Sejujurnya banjir kali ini lebih buruk berbanding apa yang berlaku pada hujung Februari lalu.

“Lebih menakutkan, paras air naik terlalu cepat membuatkan ada dalam kalangan penduduk menjadi panik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Kamarulzaman memberitahu, selepas ini mereka semua akan berpindah ke sebuah gudang yang lebih selamat.

Katanya, bagaimanapun penduduk perlu meredah banjir selepas laluan utama masuk ke kawasan kampung itu ditenggelami banjir.

“Kami harap sangat bantuan dapat dihulurkan segera, kerana di sini ramai warga emas dan kanak-kanak,” ujarnya.

Utusan Online 2 Disember lalu melaporkan, penduduk Kampung Tasek Bakong di sini nekad bergotong-royong membina pps sebagai persediaan menghadapi musim banjir gelombang kedua yang dijangka berlaku pada bila-bila masa bermula sekarang.

Tindakan itu diambil selepas mereka ‘trauma’ apabila beberapa PPS di Surau Kampung Bakong dan Masjid Padang Licin di sini sudah tidak mampu untuk menampung pertambahan jumlah mangsa yang makin meningkat.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN