PM dijangka tinjau kawasan tanah runtuh lewat petang

PM dijangka tinjau kawasan tanah runtuh lewat petang ini

FAHMI Fadzil beramah mesra dengan warga Kementerian Komunikasi dan Digital selepas Majlis Amanat Menteri Komunikasi dan Digital kepada warga kerja kementerian itu di Putrajaya di sini, hari ini.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka ‘turun padang’ untuk meninjau sendiri situasi insiden tanah runtuh dekat Batang Kali, Selangor lewat petang nanti.

Perkara berkenaan disahkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat beliau di kementeriannya di sini hari ini.

“Insya-Allah, Perdana Menteri akan pergi ke sana terus mungkin sebelah malam, namun saya difahamkan ada beberapa menteri sudah pun bergegas ke lokasi tersebut,” katanya.

Awal pagi tadi, berlaku tanah runtuh yang menghempap tapak perkhemahan di Father Organic Farm, Jalan Genting Highland-Batang Kali dan melibatkan hampir 100 orang mangsa.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi kenyataan media pada 9.15 pagi tadi memaklumkan hasil siasatan mendapati 53 mangsa ditemui selamat dan tujuh cedera.

Bagaimanapun, seramai lapan lagi mangsa disahkan telah pun meninggal dunia dengan misi operasi mencari dan menyelamat oleh pelbagai pihak masih lagi diteruskan ketika ini.

Mengulas lebih lanjut, Ahmad Fahmi mengesahkan bahawa Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad pun sudah berada di kawasan berkenaan.

“Begitu juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta tidak ketinggalan ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) akan membuka pusat operasi media di sana untuk penyelarasan maklumat kepada semua agensi berita.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru rakyat supaya mendapatkan informasi yang sahih mengenai kejadian bencana tersebut dan tidak pula berkongsi penyebaran maklumat palsu.

Pada masa sama, beliau meminta warganet tempatan agar tidak memaparkan imej foto keadaan mangsa yang maut itu demi menjaga perasaan dan sensitiviti keluarga mereka.

Ini ujar beliau, gambar kanak-kanak yang sebenarnya perlu dikaburkan dan sepatutnya tidak disiarkan pun hanya untuk meraih banyak tanda suka dalam wadah media sosial. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN