Pertemuan dengan semua pemain industri minggu depan -TPM

Pertemuan dengan semua pemain industri minggu depan -TPM

FADILLAH Yusof bercakap kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) Ke-8 di Hotel Everly di sini, hari ini.-FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengadakan pertemuan minggu depan dengan semua pemain industri bagi memperkasakan keseluruhan rantaian bekalan negara termasuk eksport dan bekalan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, buat masa ini, kerajaan akan berbincang dahulu dengan pemain industri dan mengenal pasti cabaran yang menjejaskan jumlah eskport negara.

Beliau berkata, minggu ini pelbagai taklimat melibatkan semua agensi, maka, pertemuan bersama pemain industri diadakan minggu depan.

“Banyak faktor sebenarnya, tetapi, yang penting, kerajaan mengambil langkah, malah, beberapa perkara yang perlu ditelitikan melibatkan keseluruhan rantaian bekalan.

“Kita (Malaysia) banyak bergantung kepada pekerja asing dan apabila golongan ini kurang (tenaga kerja), maka, akan memberi kesan dan kurangnya kepada hasil negara kerana pekerja tidak ada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Institut Perladangan dan Komoditi (IMPAC) ke-8 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching.

Fadillah berkata, apabila tenaga kerja kurang, maka, akan menjejaskan eksport negara.

Katanya, kesusahan ini yang mahu dikenal pasti bagi memastikan isu melibatkan rantaian bekalan dan eksport dapat diatasi.

“Apabila dikenal pasti, kita akan berunding dengan kementerian yang terlibat sama ada Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Luar bagi mencari langkah strategik.

“Usaha bersama nanti adalah untuk meningkatkan pengeluaran dalaman negara kemudian pasaran eksport, hasilan hiliran… Itu semua rantaian yang saya mahu tengok,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Fadillah berkata, sektor agrikomoditi merangkumi komoditi perladangan seperti sawit, getah, perkayuan, koko, lada, kenaf dan tembakau adalah merupakan komponen terpenting dalam ekonomi Malaysia.

Katanya, ia menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM 61.3 bilion sehingga suku ketiga tahun 2022.

“Jumlah eksport adalah sebanyak RM160.6 bilion serta menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir satu juta rakyat Malaysia khususnya di segmen huluan. Dalam kata lain, sektor agrikomoditi menyediakan peluang pekerjaan yang luas kepada rakyat tempatan.

“Pihak kerajaan menyedari bahawa pergantungan yang berterusan kepada pekerja asing boleh menjejaskan sektor perladangan khususnya kepada sektor sawit untuk jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata, sehingga 30 September 2022, dilaporkan sejumlah 150,608 pekerja asing kini bekerja di sektor perladangan.

“Maka, kerajaan amat menggalakkan pemain industri termasuklah pekebun kecil agar dapat meningkatkan tahap penggunaan jentera di ladang-ladang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN