Perlu garis panduan, SOP buat penyedia aktiviti perkhemahan - Utusan Malaysia

Perlu garis panduan, SOP buat penyedia aktiviti perkhemahan

AMINUDDIN Harun dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan kini sedang meneliti dan mengenal pasti undang-undang kecil di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu yang bersesuaian bagi diikuti oleh penyedia tapak dan aktiviti perkhemahan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, satu garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) perlu ada bagi dipatuhi oleh pengusaha-pengusaha perkhemahan kerana sehingga kini tiada undang-undang yang khusus untuk mereka berbuat demikian.

Jelasnya, undang-undang khusus tersebut adalah penting sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan berulangnya insiden tidak diingini seperti yang sebuah kawasan perkhemahan yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor baru-baru ini.

“Ada permintaan daripada persatuan ekopelancongan yang menyediakan tapak-tapak perkhemahan untuk mereka mendaftar bagaimanapun tiada pihak sama ada di peringkat negeri mahupun kerajaan Pusat yang memantau. Belum tahu di mana mereka perlu mendaftar, kena kenal pasti, kalau belum ada (SOP) kena buat dan harus dapat persetujuan di antara kerajaan Pusat dan negeri.

“Saya telah minta, exco kerajaan negeri yang terlibat untuk menyemak dan melihat undang-undang kecil yang kita laksanakan supaya dapat selaraskan supaya ia boleh memberikan keselamatan yang maksimum kepada orang ramai yang menggunakan perkhemahan terbuka ini,” katanya.

Aminuddin berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Jelas beliau lagi, SOP dan garis panduan tersebut juga adalah penting untuk disediakan kerana permintaan untuk aktiviti perkhemahan seperti di tepi-tepi sungai dan kawasan tanah tinggi adalah meningkat dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, beliau menjelaskan, berikutan keadaan cuaca buruk pada setiap hujung tahun, kerajaan negeri sememangnya telah mengambil langkah awal dengan menutup sementara kawasan beriko seperti kawasan-kawasan terdapatnya sungai dan air terjun yang sering dikunjungi orang ramai.

“Sudah dua tahun kerajaan negeri memberikan arahan berkenaan, kawasan hutan simpan ditutup dan yang mempunyai risiko. Notis telah dimaklumkan sejak bulan Oktober lagi dan Alhamdulillah, ramai yang patuh, kita tahu musim begini, kami khuatir dengan insiden kepala air,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan telah  mengeluarkan notis penutupan sementara kepada semua pengunjung bagi aktiviti rekreasi termasuk pendakian di dalam hutan simpan kekal di negeri ini.

Penutupan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan musim tengkujuh dan risiko kejadian kepala air itu turut melibatkan kesemua taman eko rimba, Taman Negeri Kenaboi di Jelebu dan PD Forest Sungai Menyala di Port Dickson.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya