Penunggang motosikal maut dihempap pokok tumbang - Utusan Malaysia

Penunggang motosikal maut dihempap pokok tumbang

ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memotong dan mengalihkan pokok tumbang yang menghempap sebuah motosikal dalam kejadian di Jalan Seremban-Tampin dekat Sungai Gadut, awal pagi tadi.-GAMBAR/IHSAN POLIS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas ditimpa pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Seremban-Tampin dekat Sungai Gadut dekat sini awal pagi tadi.

Mangsa, Muhammad Ikram Mohd. Yazid, 21, beralamat di Jalan Kampung Perigi Jernih, Rembau mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pembonceng motosikal, Ammar Zarif Mohamad Junaidi, 18, beralamat di Taman Puncak Jalil, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor pula mengalami kecederaan parah di bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, nahas berlaku pukul 12.30 pagi dan mangsa dari arah Senawang di sini menuju ke Rembau.

“Tiba di tempat kejadian terdapat sebatang pokok yang berada di kiri bahu jalan telah tumbang lalu menghempap motosikal yang sedang bergerak. 

“Kedua-dua mangsa terperosok di bawah pokok yang tumbang. Penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban bagi pengendalian bedah siasat.

“Pembonceng motosikal pula dibawa ke Hospital Rembau untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nanda berkata, siasatan awal mendapati keadaan jalan raya gelap tanpa pencahayaan lampu jalan dan cuaca baik pada waktu tengah malam.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.