Penduduk sudah penat, kampung kerap kali dilanda banjir

Penduduk sudah penat, kampung kerap kali dilanda banjir

ZAINURI Sukini (kanan) bersama tiga anaknya berpindah di PPS SK Tok Deh Rantau Panjang, Kelantan, semalam. – UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Penduduk daripada tiga buah kampung iaitu Kampung Bendang Perol, Gual To’Deh dan Tersang di sini, mengakui sudah penat selepas terpaksa berpindah buat kali ketiga tahun ini ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka ditenggelami banjir.

Dakwa penduduk, meskipun banjir kali ini tidak seburuk Februari lalu, namun mereka berdepan dengan kerosakan harta benda.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk Zainuri Sukini, 42, dari Kampung Gual To’Deh berkata, setiap kali banjir, dia dan keluarga terpaksa ‘berkampung’ sekurang-kurangnya tiga minggu di PPS ekoran banjir termenung.

“Banjir Februari lalu kami sekeluarga terpaksa berada di PPS selama tiga minggu. Pada bulan lalu akibat banjir, kami berkampung seminggu di sini.

“Hari ini…kami datang lagi ke PPS dan tak pasti berapa lama berada di sini. Situasi ini menyebabkan urusan keluarga dan mencari nafkah terjejas. Apabila banjir terlalu lama, nak keluar bekerja pun susah sedangkan saya ada anak tiga orang perlu disara,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, Mek Yam Ahmad, 80, memberitahu, dengan usia tuanya dia mula rasa penat untuk berdepan situasi banjir yang kerap berlaku.

Dakwanya, kejadian banjir yang kerap berlaku berpunca daripada Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.

“Saya pun sudah tiga kali berpindah di PPS tahun ini. Banjir pada penghujung Februari antara yang terburuk sejak 25 tahun tinggal di Kampung Bendang Perol apabila rumah tenggelam.

“Bulan November lalu berpindah lagi dan berada di PPS selama 16 hari dan semalam datang lagi,” ujarnya.

Portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan Sungai Golok telah melepasi tahap bahaya iaitu diparas 9.3 meter menyebabkan tiga kampung di Rantau Panjang dilanda banjir.

Berikutan itu, satu PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh semalam apabila 10 keluarga melibatkan 37 mangsa banjir dari Kampung Gual To’Deh dan Bendang Perol dipindahkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya