Pemilik produk coklat balang tamat pengajian di USIM - Utusan Malaysia

Pemilik produk coklat balang tamat pengajian di USIM

MUHAMMAD Zulfaqar Rosli dan isterinya, Fatin Najihah Zulkefli bergambar selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa sempena Majlis Konvokesyen Ke-20 USIM di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sibuk menguruskan perniagaan produk coklat balang yang mempunyai kira-kira 40 orang pekerja tidak menghalang pemilik syarikat AB Food Asia Sdn. Bhd., Muhammad Zulfaqar Rosli, 23, untuk tetap menumpukan pengajiannya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Hasil kegigihannya itu, dia hari ini menerima Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa sempena Majlis Konvokesyen Ke-20 USIM yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai di sini.

Lebih menarik, dia turut menamatkan pengajian bersama isterinya, Fatin Najihah Zulkeflli, 23, yang baharu selamat melahirkan anak sulung mereka, yang berusia sebulan 17 hari. 

Ketika ditemui, Muhammad Zulfaqar berkata, dia mengakui terpaksa membahagikan masa untuk memastikan pelajaran dan perniagaannya berjalan seiring.

Jelasnya, dia mahu memastikan perniagaan yang diusahakannya itu berjaya pada masa yang sama mahu menamatkan pengajian pada tempoh yang ditetapkan.

“Sejak saya mengambil Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) saya sudah menjalankan pelbagai perniagaan. Selepas memasuki USIM pada tahun 2018, saya cuba jual pelbagai makanan demi menampung perbelanjaan sepanjang pengajian kerana tidak mahu memohon sebarang pinjaman.

“Alhamdulillah, pada mulanya saya menjual produk coklat balang (jar) peniaga lain namun pada tahun kedua saya mula membuat produk sendiri. Pada tahun itu juga, produk saya itu yang dikenali sebagai AB Choco Jar berjaya dikembangkan ke seluruh negara dan mula dikenali orang ramai,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Muhammad Zulfaqar menjelaskan, dia dan isteri kini berazam untuk terus mengukuhkan perniagaan yang telah diusahakannya itu.

“Sebelum ini, saya hanya dapat memberi fokus kepada perniagaan hanya selepas waktu kuliah tetapi kini saya dapat beri tumpuan sepenuhnya. Saya kini mempunyai 2,000 orang ejen dan 40 orang pekerja dan menyasarkan untuk meningkatkan jumlah jualan,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya