Pembangunan sistem pembetungan negara demi pemuliharaan sumber air - Utusan Malaysia

Pembangunan sistem pembetungan negara demi pemuliharaan sumber air

LRK Pantai 2 kini yang lebih moden sealiran dengan pembangunan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sememangnya, sejak peradaban manusia paling awal, air kumbahan dibuang ke saluran pengairan yang terdekat, memanfaatkan pencairan dan pengoksidaan semulajadi sebagai rawatan.

Idea ‘rawatan semulajadi’ ini tidak salah kerana banyak bahan cemar dapat dikeluarkan melalui prosesnya, tetapi kadar pertumbuhan penduduk dan peningkatan pencemaran dalam air buangan, menjadikan pendekatan ini tidak lagi sesuai untuk kehidupan moden.

Malah ia boleh mendatangkan bahaya kepada manusia dengan pelbagai penyakit bawaan air seperti taun, deman kepialu dan Hepatitis A, yang disebabkan pencemaran daripada air sisa kumbahan.

Sehubungan itu, pembangunan pesat sistem pembetungan negara telah menjadi perhatian penting bagi Malaysia, dengan tujuan untuk memisahkan air kumbahan dari sumber air minuman demi melindungi kesihatan awam dan memelihara alam sekitar.

Malaysia telah melalui beberapa fasa dalam sejarah perkembangan sistem pembetungan. Seawal tahun 1800an, Akta Perbadanan Perbandaran 1835 telah dibangunkan dibawah Lembaga Kebersihan yang berfungsi mengawal pembinaan, pembaikkan, pembersihan, perparitan, pengairan dan lain lain.

Beberapa enakmen turut diperkenalkan setelah tertubuhnya Jabatan Perancangan Bandar sekitar tahun 1921, yang kemudiannya ditukar kepada Lembaga Bandaran pada tahun 1946.

Berikutan kemerdekaan dan pembentukan Malaysia pada tahun 1963, sistem pembetungan seperti tangki septik individu, tangki septik komunal, tangki imhoff, kolam pengoksidaan dan sistem pembetungan bersambung telah diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia. Sistem ini diharapkan dapat mencapai matlamat dalam meningkatkan kesihatan masyarakat pada ketika itu.

PENCEMARAN

Sistem oksidasi terbuka di LRK Pantai 2 sekitar tahun 1984.

Namun, pengurusan yang telah dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan pada waktu itu tidak menyeluruh dan peningkatan jumlah penduduk menyumbang kepada tahap pencemaran sungai dan sistem perparitan serta memberi kesan negatif terhadap kualiti persekitaran.

Oleh itu, Kerajaan Malaysia telah menggubal undang-undang khas, Akta Perkhidmatan Pembetungan 1993 (Akta 508), yang telah diluluskan Parlimen pada bulan Jun 1993. Akta 508, memberi mandat kepada Kerajaan Persekutuan untuk bertanggungjawab sepenuhnya dan kawalan ke atas pembangunan, pengurusan dan peraturan pengurusan kumbahan di seluruh negara.

Sehubungan itu, dalam usaha memantapkan sistem pembetungan negara, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd telah ditubuhkan pada tahun 1994 bagi menyediakan perkhidmatan pembetungan keatas 86 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kecuali negeri Kelantan, kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Pasir Gudang dan Sabah & Sarawak.

Selaras dengan arus pembangunan negara, loji-loji rawatan kumbahan moden telah dibangunkan yang mana loji-loji ini dapat merawat air kumbahan dengan lebih cekap untuk menampung pertambahan penduduk yang kian meningkat saban tahun.

Salah satu loji moden yang dikendalikan IWK ialah Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Pantai 2 yang dibangunkan di atas tapak keluasan 17 ekar yang, sebelum ini loji berkenaan menggunakan sistem kolam oksidasi terbuka yang hanya boleh menampung 877,000 penduduk setara (PE).

Kini, LRK Pantai 2 telah dinaiktaraf dan merupakan loji terbesar di rantau Asia Pasifik di mana ianya juga adalah loji rawatan kumbahan bawah tanah pertama di Malaysia yang mampu merawat kumbahan bagi 1.423 juta penduduk setara (PE).

DIBIAYAI

Loji ini dibina dengan kos sebanyak RM983 juta dan dibiayai sepenuhnya Kerajaan Malaysia. Apa yang menarik adalah, loji ini turut dilengkapi dengan beberapa inisiatif teknologi hijau seperti penggunaan janakuasa biogas dan papan solar bagi menghasilkan tenaga elektrik, penggunaan semula air bioefluen, dan penggunaan peralatan penjimatan tenaga.

Bahagian atas loji ini juga dibangunkan sebuah kawasan rekreasi setempat iaitu IWK Eco Park @ Pantai Dalam yang meliputi keluasan sebanyak 12 hektar serta dilengkapi dengan kemudahan yang dibuka kepada orang awam seperti kawasan rekreasi, dewan komuniti, gelanggang badminton, futsal dan trek

Setelah beroperasi melebihi 28 tahun, IWK juga telah meluaskan kawasan operasinya kepada seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan, menyediakan berkhidmat kepada lebih 29 juta penduduk setara (PE) dan bertanggungjawap dalam memastikan 7,347 loji rawatan kumbahan, 1,398 stesen pam kumbahan dan 22,820 km saluran paip pembetungan awam bawah tanah berfungsi dengan baik demi kelestarian alam sekitar dan kesihatan awam.

Malah, IWK juga telah meningkatkan inisiatif “waste-to-wealth” secara amalan holistik dalam menjadikan bioproduk dari proses rawatan kumbahan sebagai sumber kekayaan baharu selain daripada aktiviti teras perniagaannya.

Ini kerana, IWK komited memperkasa prinsip ekonomi kitaran menerusi penggunaan semula produk sampingan, khususnya bioefluen, biopepejal, dan biogas.

Beberapa usaha yang sedang dijalankan adalah seperti penghasilan air pulih guna daripada efluen terawat serta penghasilan tenaga diperbaharui dan baja untuk tanaman bukan makanan daripada biopepejal.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya