Peguam PU Azman cadang kemuka representasi - Utusan Malaysia

Peguam PU Azman cadang kemuka representasi

PU Azman ketika hadir pada prosiding sebutan semula pertuduhan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pihak pembelaan yang mewakili penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman bercadang mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berkaitan lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun ini. 

Peguam, Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 41, berkata, pembelaan terlebih dahulu perlu meneliti dokumen yang diserahkan oleh pihak pendakwaan sebelum menghantar representasi.

“Insya-Allah kami akan kemukakan representasi kepada pihak pendakwaan untuk pertimbangan.

“Niat kami untuk teliti balik kes ini, jika ada pertimbangan terbaik untuk ditarik balik kami akan cuba hantar surat itu (representasi),” katanya ketika ditemui selepas selesai prosiding sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini.

Terdahulu dalam prosiding di hadapan Hakim, Datin Surita Budin, Mohamad Zahid memohon satu bulan setengah sehingga akhir bulan Januari untuk meneliti dokumen sebelum sebutan semula kes ditetapkan.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi sebelum itu memaklumkan dua dokumen berkaitan kes PU Azman sedia diserahkan kepada pihak pembelaan hari ini.

PU Azman yang dikenali dengan panggilan Cik Man memakai baju kurta berwarna biru gelap tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.50 pagi dengan ditemani peguamnya.

Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 31 Januari depan.

PU Azman (kiri) dan peguamnya, Mohamad Zahid ketika hadir pada prosiding sebutan semula pertuduhan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Pada 12 Oktober lalu, PU Azman didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun ini. 

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau. 

Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai di sini pada 6 Julai lalu. 

Semalam, PU Azman didakwa lagi atas empat lagi pertuduhan berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang remaja di Mahkamah Majistret dan Sesyen Klang, Selangor-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.