PADANG SERAI: Meskipun terpaksa bergerak perlahan-lahan akibat tubuh yang membongkok, seorang warga emas, Rahmah Saad, 78, tetap menggagahkan diri untuk hadir mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Selarong di sini.
Dia yang hadir dari Taman Desa Aman juga tidak ‘kalut’ mahu menggunakan kerusi roda sebaliknya ‘gagah’ mengatur langkah menggunakan tongkat ke saluran mengundi, semata-mata tidak mahu menyusahkan orang lain.
“Saya masih boleh berjalan, tak mahulah susahkan orang nak tolak gunakan kerusi roda. Walau dalam keadaan begini, saya tetap mahu mengundi bukan demi saya, sebaliknya untuk masa depan anak cucu.
“Ada dalam kalangan orang berusia yang saya kenali mengatakan yang kami dah tak perlu nak mengundi sebab dah tua dan hampir meninggal dunia. Tetapi, bagi saya, ini untuk kebaikan masa depan kita dan Alhamdulillah, anak-anak muda sekarang nampak bersemangat untuk mengundi,” katanya.
Sementara itu, anaknya, Nor Aishah Musa, 41, memaklumkan, ibunya sejak semalam memang cukup bersemangat untuk melaksanakan tanggungjawab mengundi.
Malah, katanya, ibunya memang sudah bertegas untuk mengundi calon tertentu yang dirasakan mampu untuk membela nasib anak cucunya.
“Ibu memang semangat dan sudah tetapkan pendirian nak undi calon serta parti tertentu. Memang dari semalam dia dah semangat nak mengundi,” katanya. –UTUSAN