KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini pada 22 Disember ini dalam perbicaraan kes Tan Sri Shahrir Ab. Samad atas pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri.
Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi berkata, Najib sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan pada esok dan lusa, namun, bekas Perdana Menteri sedang dibicarakan melibatkan kes 1Malaysia Develoment Berhad (1MDB) minggu ini di mahkamah berlainan.
Perbicaraan terhadap bekas Perdana Menteri bagi perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB sedang didengar di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah sehingga Khamis ini.
Sehubungan itu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan perbicaraan kes Shahrir disambung esok bagi mendengar keterangan pegawai penyiasat.
Sebelum itu, mahkamah mendengar keterangan Tuan Zulkifli Tuan Lah iaitu Timbalan Ketua Unit Audit Meja Selebriti, Penghibur Awam dan Pelbagai, Bahagian Penaksiran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang selesai disoal semula oleh pihak pendakwaan.
Terdahulu, Rasyidah Murni memaklumkan, Najib tidak dapat memberi keterangan pada esok dan lusa kerana perbicaraan 1MDB berterusan minggu ini dan bekas Perdana Menteri berkelapangan minggu depan.
Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon tarikh perbicaraan bagi kedua-dua hari tersebut dilapangkan dan disambung pada 22 Disember bagi mendengar keterangan Najib.
Namun, permohonan penangguhan itu dibantah oleh peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah atas alasan ia akan menyebabkan perbicaraan berlarutan selain memohon perbicaraan disambung esok bagi mendengar keterangan pegawai penyiasat.
Bagaimanapun, Rasyidah Murni berkata, pihak pendakwaan tidak bermaksud untuk melengah-lengahkan perbicaraan kerana pihaknya tiada kuasa pada peringkat ini untuk memanggil Najib.
“Kami menyatakan, keterangan Datuk Seri Najib perlu didengar terlebih dahulu sebelum pegawai penyiasat dipanggil memberi keterangan,” ujarnya.
Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan.
Tindakan itu didakwa bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.
Shahrir didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. –UTUSAN