PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengambil kira cadangan menaikkan harga siling telur ayam sebanyak lima sen sebiji bagi semua gred bagi menyelesaikan masalah kekurangan bekalan bahan makanan tersebut.
Dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu melihat keseluruhan rantaian pengeluaran telur ayam seperti isu makanan dan kos elektrik yang boleh diberikan subsidi supaya dapat membantu pengeluar menampung kos pengeluran.
Pakar industri ternakan ayam, Prof. Madya Dr. Azhar Kasim berkata, walaupun setiap biji telur ayam diberikan subsidi namun jumlah yang diagihkan tersebut belum mampu menutup kos menghasilkan sebiji telur ayam oleh pengeluar.
Menurut beliau, langkah menaikkan harga adalah perlu kerana kos pengeluaran telur kini adalah sama dengan harga jualan runcit menyebabkan pengeluar mengalami kerugian dan tidak mampu menambahkan bekalan ke pasaran.
“Mengikut perkiraan saya, kos jualan adalah sama dengan kos menghasilkan sebiji telur. Sebagai contoh, harga telur bagi gred C adalah 41 sen sebiji dan itulah kos menghasilkannya.
“Cadangan menaikkan harga telur sebanyak lima sen setiap biji itu sekurang-kurangnya dapat membantu penternak menampung kos produksi yang tinggi. Kerajaan perlu ada rasa simpati terhadap pengusaha dan penternak.
TELUR
“Itu (kos) tak termasuk lagi dengan pengiraan kos penggredan telur, pembungkusan, kos utiliti, gaji pekerja dan bayaran pinjaman bank yang jauh lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Azhar berkata, dengan harga produksi dan telur yang mempunyai harga yang sama, pengusaha dan penternak tidak akan mampu menampung beban kos produksi yang tinggi kerana tiada keuntungan yang diperoleh daripada pihak mereka.
Mengulas lanjut, dengan cadangan kenaikan harga siling telur tersebut, pengguna perlu faham kenaikan tersebut adalah perkara biasa kerana situasi negara sekarang yang sedang menghadapi inflasi.
“Pada masa sama, pengguna perlu menerima hakikat dan fakta bahawa harga telur sekarang naik sedikit, kalau harga ikan dan sayur sudah melambung berkali ganda, takkan telur tidak akan naik.
“Jika terlalu mahal, pengguna boleh guna alternatif lain seperti tukar cara pemakanan mereka, apa-apapun semuanya datang dalam satu pakej, kurangkan perbelanjaan selain perlu menjaga pemakanan kerana ia untuk kebaikan kesihatan kita semua,” jelasnya.
Katanya, tiada masalah jika pengguna menukar kepada makanan alternatif daripada makan telur ayam kerana Malaysia antara negara pemegang rekod obesiti tertinggi di Asia iaitu sudah melebihi 30 peratus, maka tidak salah untuk beringat dan menjaga pemakanan demi kesihatan
Bagaimanapun, Azhar berkata, isu kekurangan bekalan domestik telur tidak dapat diselesaikan dengan hanya menaikkan harga siling telur.
SILING
“Tentang isu kekurangan bekalan telur ini, dengan menaikkan harga siling telur ia bukanlah satu jalan penyelesaian kerana masalah ini agak sukar untuk diatasi tetapi tak dapat dinafikan ia merupakan satu jalan alternatif yang baik.
“Cadangan saya, kita naikkan dulu kos siling harga telur ini, dan jika bekalan masih tidak mencukupi, barulah kita mengapungkan harga telur ayam kerana langkah ini kita perlu buat satu per satu untuk melihat jika ada penambahbaikan dari segi bekalan stok telur,” jelasnya.
Azhar menambah, bagi cadangan harga untuk mengapungkan telur ayam, itu lebih baik jika industri pasaran yang menetapkan harga tersebut kerana menurut laporan yang diterima telur yang diimport kurang mendapat sambutan daripada pengguna.
“Saya cadangkan kita tengok dulu hasilnya bagaimana, kerana jika bekalan masih berkurang, ini menunjukkan yang penternak dan pengusaha masih mengalami kesukaran dalam menyediakan bekalan telur.
“Tetapi perlu diingatkan, masalah telur ini kita tidak boleh melihat dan mengkajinya untuk semalaman sahaja kerana isu ini ia perlu dilihat bermula daripada anak ayam, berubah kepada induk ayam.
“Selepas proses itu, ayam hanya akan mula bertelur pada umur lima bulan maka kesan atau impak itu kita hanya akan dapat lihat lima bulan daripada sekarang, itupun kalau ada stok pasukan anak ayam,” katanya lagi.
Pada Julai lalu, persatuan penternak telah meminta kerajaan memberikan subsidi lapan sen bagi setiap telur ayam untuk membantu mengekalkan perniagaan penternakan telur dan memastikan keselamatan makanan negara.
Kerajaan pula sejak 1 Julai lalu menetapkan harga siling pada 45 sen setiap telur ayam Gred A, 43 sen untuk Gred B dan 41 sen untuk Gred C. – UTUSAN










